Negeri kena patuh keputusan Pusat

Selepas 49 hari berada dalam tempoh PKP, Malaysia akhirnya membuka kembali sektor ekonomi dan sosialnya sejak semalam.
Selepas 49 hari berada dalam tempoh PKP, Malaysia akhirnya membuka kembali sektor ekonomi dan sosialnya sejak semalam.
A
A
A

BERMULA semalam, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan dengan menyaksikan sektor ekonomi dibuka semula secara terkawal selepas Malaysia berdepan dengan empat fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Sepanjang tempoh PKP, negara mengalami kerugian sebanyak RM2.4 bilion setiap hari dengan jumlah kerugian kini dianggarkan sebanyak RM63 bilion selepas 49 hari PKP.

Susulan keberkesanan pendekatan berkenaan, ditambah dengan kejayaan negara meratakan lengkungan pandemik Covid-19, sebahagian besar daripada aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan beroperasi kecuali beberapa aktiviti yang melibatkan perhimpunan ramai.

Bagaimanapun, sehari sebelum pelaksanaan PKPB, enam negeri membuat keputusan mengejut apabila menyatakan pendirian tidak melaksanakan PKPB seperti yang diputuskan kerajaan Persekutuan. Jelas wujud koronafobia dalam kepimpinan sesetengah negeri.

Enam negeri iaitu Sabah, Sarawak, Pulau Pinang, Pahang, Kelantan dan Kedah enggan membuka semula sektor ekonomi dan sosial. Negeri-negeri itu bertekad meneruskan PKP fasa empat yang akan berakhir pada 12 Mei ini.

Tindakan luar jangka enam negeri itu seolah-olah memperlihatkan mereka membelakangi kerajaan Persekutuan sekali gus menidakkan situasi jangkitan Covid-19 yang boleh dikatakan terkawal penularannya oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketika sesetengah pihak bersetuju dengan keputusan enam negeri itu atas faktor keselamatan, namun ada pula yang melihat keengganan enam negeri mengikut arahan Persekutuan berpunca daripada kemelut politik iaitu untuk menampakkan kerajaan Persekutuan yang ada pada hari ini tidak kuat.

Artikel Berkaitan:

 Dr Sivamurugan dan Dr Shamrahayu
Dr Sivamurugan dan Dr Shamrahayu

Apatah lagi, negeri-negeri seperti Kedah dan Kelantan adalah antara negeri yang sudah mencatatkan sifar kes aktif Covid-19 sejak beberapa minggu lalu, manakala Pulau Pinang hanya mempunyai dua kes aktif Covid-19 setakat semalam.

Namun, penganalisis politik daripada Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Sivamurugan Pandian tidak melihat keengganan enam negeri itu melaksanakan PKPB semalam bertujuan melemahkan kerajaan Persekutuan.

Sebaliknya, menurut Sivamurugan, enam negeri itu mahu melakukan persediaan rapi sebelum terikat dengan pelaksanaan PKPB.

“Saya tidak melihat ia disebabkan politik kerana kerajaan Pahang, Kelantan dan Sarawak yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional pun mengambil pendekatan yang sama. Mungkin saya rasakan, apa yang kerajaan negeri itu lakukan ialah ia masih mahu terikat dengan PKP fasa empat.

“Selain itu, mungkin pemimpin negeri kerisauan melihat apa yang berlaku di Jepun selepas negara itu menamatkan tempoh darurat terlebih awal. Ini tidak meminggirkan sama sekali apa yang dicadangkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Cuma yang negeri-negeri itu mahu dilakukan ialah ia boleh bersedia tetapi dengan bersyarat,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Perlu patuh

Menyokong pandangan sama, pakar perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz juga tidak merasakan bahawa tindakan enam negeri itu mengambil pendekatan kepartian walaupun memang sepatutnya kerajaan negeri perlu patuh kepada apa yang direncanakan kerajaan Pusat.

Ketidakpatuhan itu juga, menurut Shamrahayu, bukan menunjukkan bahawa kerajaan Perikatan Nasional itu lemah dalam mentadbir Malaysia khususnya ketika negara berdepan dengan ancaman Covid-19 yang dilihat tiada penghujungnya pada ketika ini.

“Itu dilema dalam sebuah negara Persekutuan. Saya tidak mahu ia menjadi satu isu politik dalam keadaan semasa ini. Sebab dalam sebuah negara Persekutuan, kepentingan untuk berunding antara negeri dengan kerajaan Persekutuan ini adalah sesuatu yang sangat penting.

“Maknanya perundingan antara kerajaan Persekutuan dengan negeri bukan ketika Covid-19 ini sahaja tetapi ia isu yang malar segar,” katanya. Mengulas lanjut, beliau berkata, persoalan mengenai adakah kerajaan negeri berhak untuk tidak mengikut perintah yang dikeluarkan oleh kerajaan Persekutuan atau adakah kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa untuk membuat peraturan tersebut iaitu PKPB, harus diketengahkan.

Menjawab persoalan itu, Shamrahayu berkata, pertamanya kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa untuk membuat peraturan tersebut dan keduanya kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa dalam pelaksanaan PKPB.

Tegasnya lagi, dari segi undang-undang, kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa untuk membuat peraturan itu kerana hal berkaitan kesihatan awam dan pencegahan penyakit adalah di bawah Concurrent List.

Info PKPB mengikut negeri-negeri.
Info PKPB mengikut negeri-negeri.

Concurrent List atau Senarai Bersama antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Negeri yang termaktub dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia di bawah Perkara 74 Jadual Kesembilan Senarai Perundangan.

“Persoalan sama ada negeri ada hak untuk tidak mematuhi atau wajib mematuhi, saya rasa bila Persekutuan ada kuasa maka negeri kena mematuhi peraturan Persekutuan itu.

“Lagipun ia dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Akta itu adalah akta yang dibuat oleh Persekutuan. Seksyen 11 di bawah Akta itu membenarkan Menteri membuat peraturan-peraturan. Ia sudah ada di peringkat Persekutuan.

“Dari segi peraturan, kita boleh nyatakan dengan tegas dan yakin bahawa kerajaan Persekutuan mempunyai hak dan negeri perlu mematuhi peraturan yang dibuat oleh Persekutuan,” katanya.

Cuma mungkin, katanya, Kementerian Kesihatan belum mewartakan Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 5) 2020 bagi PKPB sebelum pelaksanaannya semalam.

“Kalau warta perintah-perintah itu telah jelas semuanya, pada saya negeri patutlah menerima pelaksanaan PKPB kalaupun mereka berkeinginan untuk menambah baik prosedur operasi standard itu,” katanya.