X

Kindly register in order to view this article
!

Segerakan RUU Covid-19

Takiyuddin memaklumkan bahawa RUU Cvoid-19 hanya akan dibentangkan pada sidang Parlimen pada Julai ini. - Foto Bernama
A
A

SAYA pernah menyentuh dalam rencana saya beberapa minggu lalu (bertajuk: Teladan dari Singapura) mengenai keperluan untuk kerajaan Malaysia hari ini meneladani Singapura dalam menggubal undang-undang khas berkenaan implikasi Covid-19.

Pada 3 Mei baru-baru ini, kerajaan bersetuju untuk menggubal rang undang-undang (RUU) berkaitan kesan penularan wabak Covid-19 yang dialami rakyat, peniaga dan syarikat.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan memaklumkan bahawa RUU itu hanya akan dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang iaitu pada Julai ini.

Biarpun kita menyambut baik mengenai berita itu, namun saya merasakan pembentangan RUU untuk diluluskan oleh Parlimen pada Julai ini masih terlalu jauh.

Apatah lagi, hendak dibentang dan didebatkan di kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara jua akan memakan masa hingga berbulan, belum lagi dikira aspek pindaan yang perlu dibuat dan sebagainya.

Jadi, bagi saya, pembentangan RUU pada Julai adalah sedikit lewat dan akhirnya mungkin tidak akan memberikan apa-apa manfaat kepada sebilangan ramai rakyat, peniaga dan syarikat.

Malah, kita sendiri kurang pasti sama ada RUU tersebut akan menyentuh mengenai perkara apa dan jenis perlindungan atau moratorium yang bagaimana akan diberikan.

Contohnya, jika kerajaan meletakkan perlindungan agar penyewa rumah tidak boleh dihalau keluar oleh pemilik, bagaimana pula jika ada yang telah dihalau sebelum RUU diluluskan?

Apakah nasib mereka jika RUU diluluskan beberapa bulan kemudian dan mungkin sudah ramai yang sudah dihalau keluar oleh pemilik rumah sewenang-wenangnya atas pelbagai faktor dan alasan.

Jadi, RUU yang dibentangkan nanti sudah tidak berguna lagi untuk mereka.

Satu lagi contoh, seandainya kerajaan memasukkan perlindungan agar kenderaan yang gagal dibayar ditarik balik oleh bank (dengan syarat-syarat tertentu) atau rumah yang dirampas oleh bank dan kemudiannya dilelong, sudah pasti jika RUU itu lewat diluluskan akan memberikan impak terus kepada rakyat.

Sudah tentu, dalam menggubal RUU, pihak kerajaan perlu menilai aspek kuasa retrospektif RUU tersebut. Dalam erti kata lain, RUU tersebut perlu mempunyai kuasa sah untuk melindungi dan meliputi apa yang sudah berlaku bermula saat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diisytiharkan sehinggalah suatu tempoh masa yang difikirkan perlu oleh kerajaan.

Persoalan

Namun, persoalannya adalah walaupun RUU itu mungkin mempunyai kuasa retrospektif, sejauh manakah RUU mampu mengembalikan atau membaiki kerugian atau permasalahan yang telah dialami oleh rakyat atau perniagaan sebelum RUU tersebut diluluskan. Contohnya seperti isu dihalau dari rumah tadi.

Ada banyak persoalan yang masih belum terjawab mengenai pengenalan RUU itu. Model dari negara manakah yang akan diikuti oleh Malaysia dalam merangka RUU tersebut dan situasi yang bagaimanakah akan diberikan perlindungan oleh RUU?

Di Singapura, mereka telah memperkenalkan beberapa RUU berkenaan Covid-19 termasuklah undang-undang dalam melindungi perniagaan kecil dan sederhana, RUU berkenaan pilihan raya Parlimen Singapura, malah RUU berhubung perkahwinan orang Islam ketika Covid-19 turut digubal.

Adalah diharapkan agar pihak kerajaan dapat mencari alternatif dalam mempercepatkan RUU Covid-19 dibentang, dibahas dan diluluskan oleh Parlimen supaya rakyat dapat dilindungi sebaiknya daripada sebarang impak Covid-19.

Selain daripada memastikan rakyat sentiasa sihat dan bebas daripada jangkitan Covid-19, kerajaan juga harus memastikan kehidupan rakyat secara amnya turut terjaga dan tidak terjejas teruk akibat pandemik yang telah menjangkiti lebih tiga juta manusia itu.

* Haeme Hashim ialah peguam di Tetuan Haeme Lew, Kuala Lumpur.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf