Jual lebih 5 sen, melayang RM5,000

Pegawai KPDNHEP menjalankan pemeriksaan susulan aduan orang awam berkaitan penjualan gula melebihi dari harga kawalan di Seri Iskandar. - Foto: KPDNHEP Perak.
Pegawai KPDNHEP menjalankan pemeriksaan susulan aduan orang awam berkaitan penjualan gula melebihi dari harga kawalan di Seri Iskandar. - Foto: KPDNHEP Perak.
A
A
A

PARIT - Seorang peniaga kedai runcit dikompaun RM5,000 kerana menjual gula melebihi harga kawalan yang ditetapkan di Seri Iskandar, di sini hari ini.

Perbuatan itu terbongkar selepas menerima aduan awam mengenai premis menjual gula pasir kasar dengan harga RM2.90 sekilogram (kg) semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Cawangan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Manjung, Wan Muhammad Badro Wan Mahmood berkata, harga maksimum yang ditetapkan kerajaan bagi jualan runcit gula pasir kasar adalah RM2.85 manakala, gula pasir halus adalah RM2.95.

"Sepasukan lima pegawai penguat kuasa menjalankan pemeriksaan dan membuat uji beli. Hasilnya, transaksi di kaunter bayaran mengesahkan harga jualan gula tersebut adalah RM2.90.

"Siasatan awal mendapati peniaga tersebut mempunyai lesen sah dengan sengaja telah menaikkan harga jualan gula sejak sebulan lalu walaupun tiada kenaikan harga dari pembekal," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, peniaga terbabit telah melanggar Perintah 3 Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan menjadi kesalahan di bawah Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

"Bagaimanapun, peniaga tersebut gagal membayar kompaun tersebut dan sitaan dilakukan melibatkan 292kg gula dengan jumlah keseluruhan RM832.

"Kes tersebut disiasat di bawah akta sama dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000," katanya.

Artikel Berkaitan: