Warga emas dibuang dalam parit

Lokasi mayat mangsa ditemui dalam parit di Kampung Pasir Panjang, Sitiawan semalam. Foto: Ihsan Pembaca, gambar kecil: Nor Omar
Lokasi mayat mangsa ditemui dalam parit di Kampung Pasir Panjang, Sitiawan semalam. Foto: Ihsan Pembaca, gambar kecil: Nor Omar
A
A
A

MANJUNG - Seorang wanita warga emas ditemukan mati dengan separuh badan tenggelam dalam parit dipercayai mangsa bunuh di Kampung Pasir Panjang, Sitiawan di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, mayat mangsa berusia 76 tahun itu ditemui hasil soal siasat seorang lelaki berusia 65 tahun yang juga penduduk kampung tersebut.

Menurutnya, pihaknya menerima laporan kehilangan mangsa yang dikatakan telah keluar sendirian menaiki motosikal sekitar jam 10 pagi.

“Berdasarkan maklumat penduduk kampung, mangsa kali terakhir dilihat telah bertengkar dengan suspek di sebuah kedai runcit.

“Pada jam 8 malam, penduduk menjumpai motosikal mangsa dalam parit di belakang rumah suspek dan mereka terus menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nor Omar berkata, suspek yang ditahan mengakui telah memukul dan memijak mangsa hingga lemah sebelum mencampakkannya di parit yang terletak kira-kira 400 meter dari rumahnya.

Katanya, siasatan awal mendapati pertengkaran itu berlaku kerana anak-anak mangsa dikatakan tidak menghormati suspek namun, motif sebenar masih dalam siasatan.

“Kejadian itu berlaku di dalam rumah suspek dan suspek menggunakan kereta sorong untuk mencampakkan mangsa.

Artikel Berkaitan:

“Operasi mencari dijalankan dan mayat mangsa ditemui sekitar jam 2 pagi. Pihak forensik mengesahkan kematian mangsa dan mayat dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk dibedah siasat,” katanya.

Nor Omar berkata, suspek direman selama tujuh hari sehingga Ahad ini untuk disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.