Nelayan didakwa edar 1.1kg dadah, ingkar PKP

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM- Seorang nelayan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar 1.1 kilogram dadah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

M.Nagathevan, 36, dari Kota Kemuning di sini, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Erry Shahriman Nor Aripin yang kemudiannya menetapkan 22 Jun untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia.

Tiada pengakuan direkodkan daripada lelaki itu kerana kes melibatkan hukuman mati akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Besar Batu 4, Jalan Kebun di sini, pada 6.30 petang 22 April lepas mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 39 B (2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan minimum 15 kali sebatan jika tidak dihukum dengan hukuman mati.

Sementara itu, Nagathevan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bergerak dari satu tempat ke suatu tempat yang lain di dalam kawasan jangkitan di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Dia dakwa mengikut Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 11 (1) Peraturan sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 22 Jun untuk sebutan semula kes. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farahin Sasaruddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.-Bernama

Artikel Berkaitan: