Semenanjung Korea kembali bergolak?

Jong-un membuat kemunculan semula untuk merasmikan sebuah kilang baja di Sunchon, utara Pyongyang kelmarin selepas 20 hari menghilangkan diri. - FOTO: AGENSI
Jong-un membuat kemunculan semula untuk merasmikan sebuah kilang baja di Sunchon, utara Pyongyang kelmarin selepas 20 hari menghilangkan diri. - FOTO: AGENSI
A
A
A

SEOUL - Semenanjung Korea kembali tegang selepas Pyongyang dan Seoul saling berbalas tembakan di Zon Bebas Tentera (DMZ), hari ini.

Insiden itu berlaku sehari selepas kemunculan semula pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un susulan kehilangannya selama tiga minggu hingga mencetuskan pelbagai spekulasi berhubung keadaan kesihatannya termasuk berita palsu tentang kematiannya.

Ketua Turus Bersama di Korea Selatan memaklumkan, pos pengawal mereka menjadi sasaran beberapa tembakan dilancarkan Pyongyang.

“Tentera kami bertindak balas dengan melancarkan dua tembakan dan pengumuman amaran. Tiada kecederaan atau kematian dilaporkan,” ujarnya.

Seoul turut menyatakan pihaknya turut berkomunikasi dengan Pyongyang melalui talian hotline tentera untuk menentukan punca kejadian tersebut.

Semenanjung Korea secara teknikal berada di ambang perang selepas Perang Korea berakhir dengan gencatan senjata pada 1953 dan penubuhan Zon Bebas Tentera (DMZ) yang memisahkan antara kedua-dua negara tersebut.

Usaha meredakan ketegangan ketenteraan adalah salah satu perjanjian damai dicapai antara Jong-un dan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in ketika sidang kemuncak di Pyongyang pada September 2018.

Namun kebanyakan kesepakatan didakwa gagal dipatuhi Korea Utara selepas Pyongyang bertindak memutuskan hubungan dengan Seoul.

Artikel Berkaitan:

Semalam, KCNA mengesahkan Jong-un membuat kemunculan pertama selepas lebih 20 hari ketika merasmikan sebuah kilang baja di Sunchon, utara Pyongyang kelmarin.

Terdahulu, laman memantau perkembangan Korea Utara, NK PRO menyatakan imej satelit menunjukkan pergerakan bot yang sering digunakan Jong-un dan pengiringnya, sekali gus mengesahkan beliau sememangnya menetap di bandar Wonsan sejak beberapa minggu lalu.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump juga memaklumkan beliau ‘gembira’ dengan berita kemunculan semula Jong-un. - Agensi