X

Kindly register in order to view this article
!

Hampir 500,000 tandatangan petisyen bantah PKPB

Tangkap layar petisyen di Change.org
A
A

SHAH ALAM - Hampir 500,000 orang menandatangani petisyen dalam talian bagi membantah keputusan kerajaan melonggarkan sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan meminta Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dibatalkan.

Ketika berita ini ditulis sekitar jam 6 petang ini, seramai 454,121 responden menandatangani petisyen itu di Change.org bagi meminta perintah kawalan PKPB tidak dilaksanakan dan meminta kerajaan tidak mengulangi kesilapan yang berlaku di beberapa negara lain.

Petisyen tersebut dilancarkan pada 1 Mei manakala PKPB akan berkuat kuasa pada Isnin bagi membolehkan kebanyakan sektor perniagaan dibuka, termasuk restoran dan pusat jagaan harian.

Selain itu, beberapa aktiviti tertentu di luar rumah juga akan dibenarkan, namun kesemua aktiviti yang dibenarkan di bawah PKPB masih perlu mematuhi penjarakkan sosial.

Salah seorang penandatangan petisyen itu, Mohd Faiz Mohamed dari Johor berkata, rata-rata rakyat Malaysia masih belum faham penjarakkan sosial terutama kebanyakan pekerja di sektor perkilangan yang melibatkan warga asing.

“Ini amat membimbangkan,” katanya.

Menurutnya, syarikat-syarikat dalam sektor swasta perlulah menjadikan waktu fasa PKP sebagai panduan dan rujukan terlebih dahulu dengan beroperasi secara beransur-ansur.

“Tetapi bukan secara mendadak seperti ini yang mungkin akan menyebabkan pemantauan pihak-pihak tertentu yang selama Ini bertungkus lumus akhirnya tidak dapat mengawal keadaan,” katanya.

Sementara itu, seorang petugas barisan hadapan, Lisa Mariana Md Sallehuddin yang juga jururawat pula tidak mahu berlaku gelombang ketiga jangkitan Covid-19.

"Walaupun saya tidak dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri tetapi tidak mengapa. Kehidupan yang lebih sihat lebih penting bagi saya," katanya.

Bagi seorang peniaga, Malek Azhar dari Shah Alam berkata, perniagaannya hanya mampu bertahan untuk lima bulan sekiranya PKP terus dilaksanakan, namun keselamatan petugas barisan hadapan lebih penting.

Jelasnya, beliau lebih rela mengenepikan soal perniagaan dan berharap petugas hadapan tidak dibebankan dengan kluster baharu.

“Pastikan jumlah 'pending result' menjadi sifar dahulu, barulah diberi kelonggaran sedikit demi sedikit,” katanya.

Sebelum ini Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan mempertahankan PKPB dengan mengatakan perlu ada keseimbangan antara menjalani kehidupan dan mata pencarian.

Beliau berkata, matlamat utama PKP adalah melandaikan lengkungan jangkitan dan kerajaan sudah berjaya melakukannya dan menjadi tanggungjawab masyarakat mematuhi langkah-langkah penjarakkan sosial untuk memastikan tiada lagi jangkitan baharu Covid-19.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!