Penjawat awam rugi RM138,900 ditipu 'Inspektor'

Gambar hiasan. (Gambar kecil: Noorzainy Mohd Noor)
Gambar hiasan. (Gambar kecil: Noorzainy Mohd Noor)
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang penjawat awam kerugian RM138,900 selepas diperdaya dengan sindiket 'Telephone Scam' semalam.

Wanita berusia 50 tahun itu dikatakan menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Pegawai Perundangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Kedah dan memaklumkan dia mempunyai bayaran tunggakan RM15,000 terhadap syarikat yang didaftarkan atas namanya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa menafikan mengenai perkara itu sebelum panggilannya disambung kepada anggota polis berpangkat koperal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah.

Menurutnya, selepas membuat semakan kad pengenalan, mangsa didakwa turut terlibat dengan kes jenayah penyeludupan dadah dan pengubahan wang haram.

Katanya, panggilan mangsa kemudiannya disambungkan ke pegawai polis berpangkat inspektor di Bukit Aman.

"Pegawai polis tersebut memaklumkan perlu menyiasat akaun bank mangsa secara dalam talian memandangkan sekarang musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mangsa kemudian diminta untuk serahkan maklumat dan kata laluan perbankan dalam talian miliknya untuk semakan.

“Mangsa diberitahu kes ini perlu diselesaikan segera dan mengugut sekiranya tidak berbuat demikian, mangsa akan ditangkap," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Noorzainy berkata, mangsa yang takut telah menyerahkan maklumat peribadi termasuk kata laluan dua akaun miliknya kepada sindiket berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, mangsa hanya sedar ditipu selepas menceritakan hal ini kepada anaknya dan apabila diperiksa wang dalam kedua-dua akaun bank milik mangsa sebanyak RM138,900 telah hilang.

"Walaupun kes seumpama ini kerap kali dilaporkan namun masih ada yang percaya dengan penipuan sindiket ini.

"Polis menasihatkan agar orang ramai sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat serta tipu helah sindiket. Jangan sesekali mudah panik dan mengikut arahan yang diberikan oleh pemanggil yang tidak dikenali, sebaliknya hubungi pihak polis atau organisasi yang terlibat untuk sebarang pengesahan," katanya.