X

Kindly register in order to view this article
!

Menangani isu warga asing tak semudah 'makan kacang putih'

Pekerja asing di Pasar Borong Kuala Lumpur kerap menjadi perhatian netizen untuk 'menyerang' DBKL.
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerap menjadi sasaran berkaitan isu lambakan warga asing di ibu kota termasuk monopoli pekerja asing di Pasar Borong Kuala Lumpur.

Namun menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, menangani isu warga asing tidak semudah seperti 'makan kacang putih' dengan kuasa terhad dimiliki DBKL sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT).

Nor Hisham
Nor Hisham

Menurutnya, terdapat larangan mengupah warga asing bekerja di pasar borong dan pasar oleh penjaja berlesen dalam undang-undang kecil (UUK) melalui penguatkuasaan termasuk pembatalan lesen.

"Tindakan itu tidak menyelesaikan lambakan warga asing dalam negara. Apa yang perlu dilakukan selepas lesen ini dibatalkan?

ARTIKEL BERKAITAN: Risiko kluster pasar borong

"Kita tiada kawalan ke atas lambakan warga asing yang ada di KL kerana bukan kita yang mengawal kemasukan mereka dalam negara.

"Ada antara mereka yang masuk sebagai pelancong dan terus tinggal di sini, ada juga yang masuk tanpa sebarang dokumentasi. Itu di bawah bidang kuasa agensi lain, tidak adil jika semua perkara disalahkan kepada DBKL," katanya mengulas kebanjiran warga asing yang menjadi perdebatan warganet kebelakangan ini.

Nor Hisham berkata, prosedur operasi standard (SOP) dan tindakan menangani warga asing oleh kerajaan perlu diperkemas dan pihak DBKL sedia memberikan kerjasama sepenuhnya.

"Insya-ALLAH kita boleh atasi isu warga asing dan kita minta kerajaan perbanyak pusat tahanan dan hantar pulang dulu semua warga asing yang tidak sepatutnya sebelum kita sama-sama jalankan penguatkuasaan.

"Setakat kita batal lesen dan halang mereka berniaga memang tidak boleh berjaya, ibarat halau lalat sahaja. Penguatkuasaan perlu bersama agensi-agensi berkaitan," katanya.

Katanya, serangan koronavirus (Covid-19) dalam negara memerlukan 'new normal' dengan mengutamakan rakyat dan mengurangkan kebergantungan negara terhadap tenaga kerja warga asing.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus