X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Gombak, Petaling kembali menjadi zon merah

Info grafik menunjukkan Gombak dan Petaling menjadi zon merah apabila merekod lebih 40 kes aktif positif Covid-19.
A
A

SHAH ALAM - Daerah Petaling dan Gombak yang sebelum ini ditakrif sebagai zon kuning bertukar kembali kepada zon merah apabila terdapat peningkatan kes positif koronavirus (Covid-19) menjadikan jumlah daerah zon merah di Selangor kini adalah tiga.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) menerusi info grafik yang dimuat naik di akaun Facebook rasminya memaklumkan tiga daerah itu adalah Gombak yang mencatat 77 kes aktif, Hulu Langat (49 kes aktif) dan Petaling (43 kes).

Enam daerah lagi masih kekal sebagai zon kuning iaitu Klang sebanyak 18 kes, Kuala Selangor (14), Kuala Langat (enam), Sepang (tiga), Sabak Bernam (dua) dan Hulu Selangor yang mencatat satu kes.

Hanya satu mukim di Selangor ditakrif sebagai zon merah iaitu mukim Batu di daerah Gombak yang mencatat 71 kes aktif positif Covid-19.

Sebanyak 24 mukim lagi kini berada di zon kuning manakala 31 mukim lagi ditakrif sebagai zon hijau apabila tiada kes aktif direkodkan.

“Hari ini (semalam) terdapat kenaikan rekod kes yang mendadak di mukim Batu yang menjadikannya berubah kepada zon merah. Kenaikan keseluruhan kes baharu di Selangor juga mempengaruhi petunjuk bagi daerah yang merekodkan daerah Petaling dan Gombak kembali menjadi zon merah.

“Antara faktor dorongan kenaikan kes baharu datang daripada kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Kenaikan kes di kawasan tersebut dapat dijangka dan berada dalam kawalan baik,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, sehingga jam 12 tengah hari semalam, 63 kes baharu direkod menjadikan jumlah terkumpul kes positif Covid-19 di Selangor kini 1,518 kes.

Daripada jumlah tersebut, 1,251 pesakit dilapor sembuh dan 215 kes masih aktif dan setakat semalam, Selangor merekod 18 kematian akibat Covid-19.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!