BPN beri kepada benar-benar layak

No Image Caption
A
A
A

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia sejak 18 Mac lalu gara-gara penularan wabak koronavirus (Covid-19) menutup pintu rezeki dan sumber pendapatan lebih 32 juta penduduk Malaysia.

Justeru, sebahagian rakyat terpaksa bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka.

Ekoran itu dalam usaha meringankan beban rakyat jelata, kerajaan Malaysia telah bertindak menyediakan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau Prihatin berjumlah RM250 bilion sebagai bantuan segera bagi memastikan kebajikan masyarakat terjamin dan aktiviti ekonomi negara berterusan.

Melalui Pakej Prihatin, semua lapisan masyarakat sama ada pelajar, graduan, penjawat awam, pekerja swasta, usahawan, peniaga, pemandu teksi, petani mahupun golongan kurang upaya (OKU) memperoleh manfaat menerusi peruntukan-peruntukan yang disediakan.

Lidah pengarang akhbar harian Makkal Osai menyatakan bahawa di bawah pakej Prihatin itu, pihak kerajaan tampil memperuntukkan tawaran Bantuan Prihatin Nasional (BPN) iaitu pemberian tunai secara 'one-off' dengan peruntukan hampir RM10 bilion kepada golongan isi rumah dan individu bujang.

Dengan itu, kira-kira 8.3 juta warganegara terdiri daripada isi rumah dan individu bujang B40 dan M40 menjadi penerima BPN di bawah Pakej Prihatin pada awal April lalu.

Bukan itu sahaja, buat julung kalinya golongan M40 termasuk pekerja swasta, peneroka Felda, nelayan, peniaga kecil dan sebagainya juga layak menikmati bantuan tersebut.

Bagaimanapun, Makkal Osai kesal dengan bisikan orang ramai baru-baru ini mengenai bantuan berkenaan dan dakwaan ia tidak sampai kepada individu-individu yang benar-benar layak.

Artikel Berkaitan:

Sebaliknya, wujud pula senario apabila golongan lebih mampu didakwa telah turut tersenarai dalam senarai penerimaan bantuan berbentuk tunai itu.

Figura politik

Makkal Osai menjelaskan bahawa figura politik terutamanya ahli Parlimen, bekas isteri Perdana Menteri dan Menteri serta bekas Timbalan Menteri didapati terima pengesahan sebagai penerima BPN berjumlah RM800 atau RM1,000 dan berita berkenaan menggemparkan laman media sosial tempatan.

Misalnya, pada 8 April lalu media tempatan melaporkan bahawa Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh terkejut apabila beliau tersenarai sebagai penerima BPN.

Bukan itu sahaja, bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar; Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim; Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli dan bekas menteri, Datuk Seri Hasan Malek serta bekas Timbalan Menteri, Datuk Seri Razali Ibrahim juga disenaraikan antara penerima BPN berjumlah RM1,000 ataupun RM1,600.

Kesemua ahli politik itu berasa hairan bagaimana mereka layak menerima BPN sedangkan tidak pernah memohon untuk bantuan tersebut, sebaliknya layak secara automatik.

Namun, figura politik berjiwa rakyat itu tampil membongkar isu berkenaan kepada pihak media dan orang ramai agar pihak kerajaan menyedari masalah itu serta mengambil tindakan yang sewajarnya.

Sementara itu, Fuziah pula berkata, di manakah telah berlaku kesilapan? Bantuan pemberian tunai diperkenalkan istimewa buat golongan B40 dan M40 sepatutnya sampai kepada rakyat tersasar itu, bukan kepada figura politik yang hidup dengan senang-lenang.

Menurut Fuziah, sumber negara harus digunakan sebaik mungkin. Oleh yang demikian, proses pemilihan penerima BPN itu perlu dikaji semula secepat yang mungkin.

Makkal Osai turut menyarankan kerajaan Perikatan Nasional mengambil langkah-langkah proaktif bagi menangani masalah itu dan memperbaiki sistem sedia ada. Motifnya hanya adalah untuk mengekang pembaziran bantuan Pakej Prihatin dan BPN.

*Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor