Pelajar tinggal dalam khemah usang dapat biasiswa

Keadaan khemah usang yang didiami abang kandung penuntut program PhD UTM bersama isteri dan enam anak di Malan, Dangi, Kuala Pilah, Negeri Sembilan yang tular di laman sosial sejak kelmarin. - Foto ihsan pembaca
Keadaan khemah usang yang didiami abang kandung penuntut program PhD UTM bersama isteri dan enam anak di Malan, Dangi, Kuala Pilah, Negeri Sembilan yang tular di laman sosial sejak kelmarin. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

JOHOR BAHRU - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memaklumkan seorang pelajar yang sedang mengikuti pengajian Doktor Falsafah (PhD) di Sekolah Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan yang kisah hidupnya tular selepas tinggal di khemah usang sudah pun mendapat dana penyelidikan.

Pejabat Hal Ehwal Korporat UTM dalam satu kenyataan berkata, pelajar terbabit telah mendapat biasiswa dana penyelidikan yang meliputi yuran dan sara hidup.

Menurut kenyataan itu, pelajar terbabit juga telah diberi peluang bekerja sambil belajar sebagai pembantu penyelidik pelajar (SLPP RA) sebaik tempoh biasiswa tamat.

"Beliau telah mendapat biasiswa (Dana Universiti Penyelidikan) dari semester dua hingga enam pengajian meliputi yuran dan kos sara hidup selain zakat dari UTM.

"Pelajar itu juga pernah dibenarkan menangguhkan pengajian selama dua semester atas sebab kesihatan," katanya.

Dalam kenyataan itu juga, UTM telah menghubungi pelajar itu bagi mendapatkan maklumat lanjut agar bantuan tambahan dapat diberikan berdasarkan kelayakan.

Jelasnya, pihak universiti sangat prihatin dengan semua aspek kebajikan pelajar dan juga amat menghargai keprihatinan semua pihak terhadap pelajar.

UTM juga ingin memohon jasa baik agar semua pihak tidak menyebarkan berita yang tidak sahih tanpa mengetahui perkara sebenar bagi menjaga kesejahteraan bersama.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, keadaan rumah pelajar yang dikenali sebagai Maznah Ismail di Malan, Dangi menjadi tular selepas beliau dihantar pulang selepas terkandas dalam kampus sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

Difahamkan khemah usang didiami abang kandungnya, Radzuan Ismail bersama isteri dan enam anak termasuk anak sulung berusia 22 tahun yang sedang belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak.