Lebih 500,000 mohon pulang ke bandar

Polis akan menentukan jadual perjalanan lebih 500,000 rakyat yang memohon kebenaran pergerakan pulang dari kampung yang melibatkan perjalanan merentas negeri bermula 7 Mei.
Polis akan menentukan jadual perjalanan lebih 500,000 rakyat yang memohon kebenaran pergerakan pulang dari kampung yang melibatkan perjalanan merentas negeri bermula 7 Mei.
A
A
A

PUTRAJAYA - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menentukan jadual perjalanan lebih 500,000 rakyat yang memohon kebenaran pergerakan pulang dari kampung yang melibatkan perjalanan merentas negeri bermula 7 Mei.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sememangnya membenarkan rakyat yang terperangkap di kampung untuk kembali pulang ke bandar.

Menurutnya, polis menerima lebih 500,000 permohonan melalui aplikasi mudah alih Gerak Malaysia daripada rakyat yang berakhir semalam.

"Bagi melancarkan perjalanan mengikut pematuhan prosedur standard operasi (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), polis akan menyediakan jadual perjalanan bagi pemohon yang dibenarkan pulang dari kampung ke bandar atau sebaliknya.

"Polis juga akan membuat kenyataan media bagi memberikan penjelasan lanjut berkenaan pergerakan itu yang dijangka bermula 7 Mei hingga 10 Mei 2020," katanya pada sidang akhbar (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri turut mengingatkan kepada kakitangan kerajaan agar tidak perlu tergesa-gesa untuk pulang pada hari ini atau esok bagi mengelakkan kesesakan di lebuh raya.

Menurutnya, walaupun pejabat kerajaan akan kembali beroperasi Isnin ini, kakitangan kerajaan tidak perlu tergesa-gesa pulang kerana Ketua Setiausaha Negara (KSU) sudah bersetuju untuk memberi kelonggaran mereka tidak perlu mula kerja pada hari itu.

"Sekiranya jadual perjalanan ditetapkan polis kepada mereka jatuh pada hari Jumaat, kakitangan kerajaan terlibat boleh tunggu giliran pulang pada hari Jumaat dan hanya memulakan bekerja pada hari Isnin," katanya.

Artikel Berkaitan:

Gesaan sama turut dikemukakan Ismail Sabri terhadap majikan swasta yang mempunyai pekerja yang tidak dapat kembali bekerja pada Isnin disebabkan masih terperangkap di kampung.

"Saya ingin menyeru untuk mendapatkan kerjasama majikan supaya membenarkan pekerja mereka bekerja berdasarkan jadual perjalanan diberikan pihak polis.

"Saya harap tidak ada pekerja diambil tindakan oleh majikan swasta kerana ini bukan pilihan pekerja mereka tetapi mematuhi jadual perjalanan ditetapkan polis.

"Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang mengikut akta yang akan diubah suai dari Akta 342 kepada majikan yang ingkar," katanya.