X

Kindly register in order to view this article
!

APMM perketat kawalan perairan negara

Anggota APMM sentiasa komited menjalankan tugas walau apa juga situasi. - Foto APMM
A
A

PUTRAJAYA - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sentiasa bersiap sedia mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dibimbangi membawa wabak koronavirus (Covid-19) masuk ke negara ini.

Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim, Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, buat masa ini pihaknya memperketatkan kawalan di kawasan perairan termasuk sempadan bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan kemasukan PATI.

Mohd Zubil Mat Som. - Foto Shahrifudin Abd Rahim
Mohd Zubil Mat Som. - Foto Shahrifudin Abd Rahim

Menurutnya, kemasukan PATI ketika tempoh penularan Covid-19 agak kurang berbanding sebelumnya dan dengan suasana normal baharu yang mengubah keadaan pada kebiasaan, pihaknya khuatir kemungkinan berlaku peningkatan kemasukan PATI yang membawa wabak ‘halimunan’ iaitu Covid-19 selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Jika pada musim PKP ini, kebanyakan PATI tidak mempunyai pekerjaan kerana bidang pembinaan dan perladangan tidak beroperasi sehingga ada dalam kalangan mereka mengambil keputusan pulang ke kampung halaman ekoran hilang punca pendapatan dan pekerjaan.

“Apa yang dikhuatirkan bagaimana keadaan nanti apabila mereka masuk secara beramai-ramai apabila PKP berakhir dan ini yang perlu kita kekang dalam usaha mengawal musuh ‘halimunan’ yang mungkin dibawa kumpulan ini dari luar dan masuk ke negara kita tanpa mereka disaring,” katanya kepada Sinar Harian di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: APMM kerah aset ke kawasan ‘panas

Mohd Zubil berkata, perkara sedemikian perlu dipandang serius kerana kemasukan PATI secara tidak terkawal boleh menjadi punca yang boleh menggandakan angka jangkitan, sekali gus boleh menggagalkan usaha kerajaan memerangi Covid-19.

Sehubungan itu katanya, semua pihak perlu bekerjasama dalam usaha memutuskan rantaian wabak berbahaya itu.

Buat masa ini, pihaknya juga turut menambah aset di kawasan panas atau 'hotspot' dan terus meningkatkan pemantauan bagi menghalang negara terus dibolosi penjenayah.

Pasukan APMM turut memantau kegiatan jenayah sekitar kawasan perairan sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan. - Foto APMM
Pasukan APMM turut memantau kegiatan jenayah sekitar kawasan perairan sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan. - Foto APMM

Peranan SWASLA

Beliau berkata, aset laut digerakkan termasuk Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) yang berfungsi sebagai sistem rangkaian radar beroperasi 24 jam bagi tujuan pengawasan supaya perairan negara sentiasa terpelihara daripada ancaman jenayah.

Katanya, SWASLA menjadi ‘pemerhati’ bagi APMM dalam tugas pengawasan pada waktu malam di sepanjang Selat Melaka.

“Peranan SWASLA turut diperhebatkan dengan sentiasa mengaktifkan komunikasi berterusan dengan aset APMM di laut dan udara serta aset agensi sahabat seperti Pasukan Polis Marin (PPM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” katanya.

Mohd Zubil berkata, kolaboratif maklumat yang berpangkalan di SWASLA akan disalurkan terus kepada semua aset laut dan udara dari semasa ke semasa bagi memperkukuh kawalan sempadan perairan negara.

“APMM bersama agensi sahabat tuut mengkoordinasikan aktiviti dan pemantauan di kawasan titik panas pendaratan migran di sekitar Kedah dan Perlis.

“Kawasan ini dipantau secara berterusan dan dibantu aset udara dan ia akan ditambah dari semasa ke semasa mengikut keperluan,” katanya.

Menurutnya, satu pesawat udara AW139 sudah ditempatkan di Pulau Langkawi dan rondaan udara dilakukan setiap hari di sebelah utara sempadan perairan dan pantai barat negara.

Swasla di kawasan semenanjung dan Sabah berfungsi sebagai rangkaian radar 24 jam bagi membantu penugasan pengawasan pada waktu malam di sepanjang perairan Malaysia.
Swasla di kawasan semenanjung dan Sabah berfungsi sebagai rangkaian radar 24 jam bagi membantu penugasan pengawasan pada waktu malam di sepanjang perairan Malaysia.

Jalin kerjasama

APMM juga turut menjalankan pengawasan berkala di kawasan utara dan Selat Melaka selain menumpukan bahagian sebelah Perak, Melaka dan sekitar Selangor.

Mohd Zubil berkata, pihaknya tidak bergerak sendiri malah turut mendapat bantuan daripada agensi lain iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, melalui prosedur operasi standard (SOP) yang diikuti, kerjasama berkenaan penting sambil mengakui kawalan keselamatan tidak akan berjaya sekiranya tugas dilaksanakan pihaknya secara sendirian.

"Kawalan sempadan sepanjang Ramadan turut diambil kira dan dipertingkatkan berikutan trend warga asing yang pulang ke kampung beramai-ramai setiap kali Ramadan atau musim perayaan.

“Nelayan Vietnam juga antara kumpulan yang perlu diambil perhatian serius kerana golongan ini juga sering rentas sempadan dan tidak mengikut peraturan ketika di laut.

“Melaksanakan operasi ketika ini juga memberi cabaran kepada anggota kita, namun ‘alah bisa tegal biasa’. Walau apa jua situasi, mereka sanggup menempuhnya atas rasa tanggungjawab menjalankan tugas biarpun di saat getir buat masa ini,” katanya.

Aset udara APMM juga digerakkan bagi mengekang jenayah penyeludupan PATI dan rentas sempadan. - Foto APMM
Aset udara APMM juga digerakkan bagi mengekang jenayah penyeludupan PATI dan rentas sempadan. - Foto APMM

Kesan taktik licik

Katanya, APMM turut mengesan taktik licik sindiket tekong darat dan laut yang mengupah penduduk tempatan sebagai orang tengah bagi membawa masuk PATI melalui laluan laut ke negara ini.

"Sindiket berkenaan turut mengaut keuntungan sehingga puluhan ribu ringgit dengan hanya membawa masuk PATI ke Malaysia. Golongan ini mungkin sudah lama melakukannya dan mereka turut berhubung melalui panggilan telefon dan aplikasi media sosial.

“Sebenarnya kegiatan mereka ini macam kita beli tiket bas dengan menggunakan ejen. Mereka ini ada ejen (orang tengah) yang uruskan, jadi kemasukan PATI ini juga diuruskan tekong sendiri dengan bantuan orang tengah,” katanya.

Mohd Zubil berkata, modus operandi tekong ini juga cukup teratur apabila mereka terus berhubung sekiranya mengetahui APMM sedang menjalankan pemantauan di laut.

"Penyeludupan PATI sukar dikekang jika khidmat orang tengah terus digunakan namun kita harap kerjasama orang awam melaporkan terus kepada pihak berkuasa jika melihat kegiatan mencurigakan.

“Janganlah dibiarkan mereka masuk ke kawasan kampung atau lorong-lorong tikus ini kerana mereka melakukan kesalahan jenayah menyeludup PATI,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana golongan yang dikenal pasti bersekongkol dengan tekong berkenaan terdiri daripada warga tempatan dan warga asing.

Sedia peralatan secukupnya

Sementara itu, Mohd Zubil turut menasihatkan golongan nelayan supaya menyediakan peralatan secukupnya ketika turun ke laut.

Bukan sahaja bekalan makanan dan pakaian, malah perlu memastikan alat komunikasi seperti telefon bimbit dan pengecas telefon bimbit atau ‘power bank’ dibawa bersama.

“Kita khuatir jika tidak mempunyai kelengkapan yang cukup, maka ia bukan sahaja menyusahkan nelayan itu sendiri malah turut menyukarkan pihak APMM untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Semua pihak juga harus menjadi mata dan telinga bagi membantu pihak berkuasa bukan sahaja dalam isu rentas sempadan dan mengekang jenayah penyeludupan PATI malah dalam usaha memutuskan rantaian wabak Covid-19,” katanya.

Tinjauan APMM yang turut dilakukan di kawasan udara. - Foto APMM
Tinjauan APMM yang turut dilakukan di kawasan udara. - Foto APMM


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus