X

Kindly register in order to view this article
!

APMM kerah aset ke kawasan ‘panas’

Aset APMM yang digerakkan dengan kerjasama pihak ATM. - Foto APMM
A
A

KUALA LUMPUR - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggerakkan beberapa asetnya ke kawasan ‘panas' yang bersempadan dengan Thailand dan Indonesia.

Usaha itu bertujuan mengesan dan mencegah kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) serta aktiviti jenayah di laut khususnya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (Swasla) berfungsi sebagai rangkaian radar yang beroperasi 24 jam bagi membantu penugasan pengawasan pada waktu malam di sepanjang Selat Melaka.

“Peranan Swasla turut ditingkatkan dengan mengaktifkan komunikasi berterusan dengan aset APMM di laut dan udara serta aset agensi Pasukan Polis Marin (PPM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Swasla di kawasan semenanjung dan Sabah berfungsi sebagai rangkaian radar 24 jam bagi membantu penugasan pengawasan pada waktu malam di sepanjang perairan Malaysia.
Swasla di kawasan semenanjung dan Sabah berfungsi sebagai rangkaian radar 24 jam bagi membantu penugasan pengawasan pada waktu malam di sepanjang perairan Malaysia.

Beliau berkata, kolaboratif maklumat yang berpangkalan di Swasla akan disalurkan terus kepada semua aset laut dan udara dari masa ke masa bagi memperkukuh kawalan sempadan perairan negara.

“Kami akan mengkordinasikan pemantauan di kawasan titik panas pendaratan migran di sekitar Kedah dan Perlis yang dibantu oleh aset udara,” katanya.

Beliau berkata, satu pesawat udara AW139 sudah ditempatkan di Pulau Langkawi dan rondaan udara dilakukan setiap hari di sebelah utara sempadan perairan dan pantai barat negara.

Mohd Zubil Mat Som. - Foto Shahrifudin Abdul Rahim
Mohd Zubil Mat Som. - Foto Shahrifudin Abdul Rahim

Sementara itu, menurutnya statistik tangkapan sepanjang tempoh PKP iaitu bermula Mac lepas menunjukkan berlaku penurunan sebanyak 38.30 peratus iaitu daripada 107 kes kepada 66 kes.

Sebahagian besar tangkapan melibatkan Akta Perikanan (31 kes), Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah (17 kes) dan Akta Imigresen (8 kes).

Pemantauan berterusan aset laut dan udara sepanjang PKP banyak membantu pematuhan dalam kalangan komuniti maritim.

Berikutan faktor geografi negara yang terbuka dan bersempadanan dengan beberapa negara serantau, negara juga terdedah kepada laluan masuk secara haram atau titik panas yang banyak.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus