Jualan PKP FAMA cecah RM11.88 juta

Isa (dua dari kanan) memantau penghantaran 300 pek Kombo Ramadan yang dibeli Abdul Azeez (kiri) untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan di Ibu Pejabat Polis Daerah Baling hari ini.
Isa (dua dari kanan) memantau penghantaran 300 pek Kombo Ramadan yang dibeli Abdul Azeez (kiri) untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan di Ibu Pejabat Polis Daerah Baling hari ini.
A
A
A

BALING - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) berjaya mencapai nilai jualan mencecah RM11.88 juta membabitkan Pasar Segar Terkawal di negeri ini sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah FAMA Kedah, Isa Hamzah berkata, jumlah itu adalah hasil jualan kepada 189,826 orang pengguna antara 18 Mac hingga 19 April 2020.

Menurutnya, dari segi pemasaran, FAMA telah membuat belian melebihi 80 peratus hasil keluaran petani dan berjaya membuat 333 pengaturan pasaran.

"Tiada isu lambakan berlaku di Kedah walaupun dalam tempoh PKP kerana Fama telah berjaya memasarkan lebih 80 peratus hasil petani," katanya semasa hadir ke sesi penyerahan sumbangan Kombo Ramadan petugas barisan hadapan di Ibu Pejabat Polis Daerah Baling hari ini.

Penyerahan disempurnakan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Abdul Azeez turut membuat pembelian 300 set Kombo Ramadan untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan di daerah Baling yang bertugas sempena Op Covid-19.

Setakat ini katanya, Kedah mempunyai enam buah Pasar Segar Terkawal yang diluluskan beroperasi semasa tempoh PKP dengan prosedur standard operasi ditetapkan antaranya di Guar Chempedak, Changlun, Kuala Kedah, Kulim, Pusat Operasi FAMA Alor Setar dan Pusat Operasi FAMA Sungai Petani.

Katanya, disebabkan sambutan menggalakkan, FAMA akan melancarkan pakej Kombo Aidilfitri bernilai RM70 dan RM80 berisi barangan keperluan hari raya termasuk ketupat yang dibuka tempahan melalui dalam talian dengan nilai penjimatan barangan antara lima hingga 20 peratus.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, setakat ini bekalan mentah dan keperluan sepanjang Ramadan di negeri ini dijamin mencukupi sehingga Aidilfitri.