Hotel rayu kerajaan Melaka kecualikan cukai

Khairulnizam
Khairulnizam
A
A
A

MELAKA TENGAH - Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Melaka merayu kerajaan negeri mempertimbangkan pengecualian sebarang cukai termasuk caj warisan dan pelancongan yang dikenakan pihak hotel negeri ini.

Presidennya, Khairulnizam Kasim berkata, ia penting untuk diberikan perhatian bagi menyelamatkan industri perhotelan di Melaka yang terkesan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Menurutnya, maklum balas positif dari kerajaan negeri dapat membantu hotel-hotel sedia ada tidak mengambil keputusan untuk mengurangkan pekerja dalam situasi sekarang sekali gus menyebabkan ramai yang hilang punca pendapatan.

"MAH memohon diberikan pengecualian pelbagai kos cukai termasuk cukai tanah, hiburan dan sebagainya sebagai langkah memastikan tiada pekerja yang terjejas sumber pendapatan," katanya ketika ditemui di Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Jelasnya, MAH telah memanjangkan permohonan itu kepada kerajaan negeri minggu lalu dan berharap perkara itu dipertimbangkan agar Melaka yang terkenal sebagai negeri pelancongan akan terus menjana pendapatan menerusi sektor perhotelan dan pelancongan selepas PKP ditamatkan kelak.

Menurutnya, sekiranya pengecualian itu diluluskan, ia mampu memberi manfaat kepada kira-kira 76 buah hotel bertaraf tiga bintang ke atas membabitkan penjimatan sekitar RM26,000 hingga 80,000 dalam tempoh enam bulan.

"Dalam situasi koronavirus (Covid-19) ini, industri perhotelan tiada bisnes, tiada orang datang jadi kita tak ada pendapatan. Setakat ini kerajaan negeri belum memberikan maklum balas dan kita yakin pihak berkenaan akan memberikan keputusan dalam masa terdekat," katanya.

Sebelum ini, Hotel Ramada Plaza antara hotel paling lama beroperasi di negeri ini mengumumkan pemberhentian operasi susulan kesan Covid-19 dan perkara itu disahkan melalui kenyataan yang dikeluarkan pengarah rangkaian syarikat itu ekoran wabak Covid-19 yang berterusan sejak Januari.

Artikel Berkaitan:

Keputusan itu juga dipercayai kira-kira 300 pekerja akan diberikan notis dua bulan awal sebelum operasi hotel di Jalan Bendahara itu menamatkan operasi pada 30 Jun depan.

Mengulas lanjut, Khairulnizam yang bertugas di Hotel Kings, berkata, jika keadaan berterusan tidak mustahil beberapa hotel lain akan mengambil tindakan yang sama.

"Kita harap pengusaha hotel membuka pintu kepada kerajaan menggunakan fasiliti mereka sebagai lokasi pusat kuarantin secara tidak langsung menambahkan pendapatan," katanya.