Penjawat awam rugi RM12,614

Gambar kecil: Noorzainy
Gambar kecil: Noorzainy
A
A
A

KEPALA BATAS-Seorang penjawat awam kerugian RM12,614 selepas diperdaya oleh sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai anggota polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, wanita berusia 35 tahun itu menerima panggilan daripada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai Sarjan Razlan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang yang mendakwa dia terlibat dengan kes penyeludupan dadah dan pengubahan wang haram.

"Pegawai polis terbabit (penyamar) memaklumkan mangsa mempunyai waran tangkap dan meminta pengadu memindahkan wang milik pengadu ke akaun bank untuk disiasat oleh Jabatan Audit Negara.

“Mangsa diarah untuk melakukan perkara itu segera dan diugut akan ditangkap sekiranya tidak berbuat demikian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Noorzainy, mangsa mendakwa panggilan itu disambungkan kepada seorang pegawai polis berpangkat Inspektor konon dari IPK Pulau Pinang lalu dia kemudian membuat dua pindahan berjumlah RM7,114 dan RM5,500 kepada dua akaun yang diberikan oleh ahli sindiket.

Katanya, mangsa hanya sedar ditipu selepas dia diminta untuk berjumpa dengan Sarjan Razlan di IPK Pulau Pinang.

"Apabila mangsa tiba di IPK Pulau Pinang, mangsa menceritakan hal yang berlaku dan pihak polis memberitahu mangsa ditipu dan diminta buat laporan.

"Walaupun kes seperti ini sering berlaku sebelum ini, namun masih ada lagi orang yang terpedaya dengan helah sindiket Macau scam. Siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel Berkaitan: