Warga emas, penjawat awam rugi hampir RM200,000 angkara Phone Scam

Dua lelaki kerugian RM195,200 selepas masing-masing ditipu sindiket panggilan telefon (Phone Scam) yang menyamar sebagai pegawai polis, mahkamah dan ejen kurier. - Gambar hiasan
Dua lelaki kerugian RM195,200 selepas masing-masing ditipu sindiket panggilan telefon (Phone Scam) yang menyamar sebagai pegawai polis, mahkamah dan ejen kurier. - Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Dua lelaki kerugian RM195,200 selepas masing-masing ditipu sindiket panggilan telefon (Phone Scam) yang menyamar sebagai pegawai polis, mahkamah dan ejen kurier.

Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, laporan berhubung dua kes itu diterima Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Pahang daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh dan Kuantan.

Menurutnya, mangsa pertama, 67, menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar sebagai pegawai polis, pada 5 Jun lalu.

"Suspek menyatakan mangsa membuat penghantaran bungkusan melalui pos laju yang mengandungi kad ATM (kad mesin juruwang automatik) dan kad pengenalan.

"Suspek kemudian memberitahu hasil semakan mendapati mangsa mempunyai rekod penyalahgunaan dadah dan pengubahan wang haram,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, akibat ketakutan dengan tuduhan itu, mangsa mangsa memindahkan wang RM100,000 termasuk menggunakan wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja miliknya ke dalam dua akaun bank yang diberikan suspek sebagai penyelesaian kes.

Dalam kejadian lain di Kuantan pula, Yahaya berkata, seorang penjawat awam berusia 32 tahun menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar sebagai pegawai Gdex pada 1 Januari lalu.

Katanya, suspek memaklumkan nama mangsa digunakan dalam penghantaran bahan terlarang iaitu tiga keping kad pengenalan, tiga kad ATM dan tiga keping sim kad ke Perlis serta disenarai hitamkan.

“Panggilan tersebut kemudian disambung ke pihak polis dan mahkamah. Mangsa diminta untuk membuat pinjaman peribadi dan wang tersebut dipindahkan ke satu akaun Juruaudit Bank Negara Malaysia untuk siasatan.

“Bermula 14 April lalu, mangsa telah membuat empat kali transaksi berjumlah RM95,200 ke dalam empat akaun berbeza,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan yang meragukan untuk segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan.

"Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di pautan https://semakmule.rmp. gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi," katanya.