Inspektor polis berdepan pertuduhan rogol, cabul pula hari ini

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pegawai polis yang didakwa atas dua pertuduhan memperdagangkan dua wanita warga Mongolia semalam akan dihadapkan ke Mahkamah Petaling Jaya, hari ini atas pertuduhan merogol dan mencabul.

Pengarah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya sebelum ini menerima arahan daripada Pejabat Peguam Negara untuk menuduh pegawai berpangkat Inspektor itu.

“Kertas siasatan pertama telah dituduh semalam di Mahkamah Klang mengikut Seksyen 13 (f) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 kerana kesalahan pemerdagangan orang dengan cara penyalahgunaan kuasa untuk tujuan eksploitasi seks.

“Kertas siasatan kedua akan dituduh hari ini di Mahkamah Petaling Jaya mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencabul,” katanya melalui kenyataan media hari ini.

Dalam laporan Sinar Harian semalam, seorang Inspektor polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Klang atas dua pertuduhan memperdagangkan dua wanita warga Mongolia bagi tujuan eksploitasi seks, awal bulan ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Inspektor polis didakwa perdagang dua wanita Mongolia

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh, Hazrul Hizham Ghazali, 30, didakwa memperdagangkan seorang wanita warga Mongolia berusia 36 tahun yang bukan seseorang bagi maksud eksploitasi seks, manakala bagi pertuduhan kedua, dia yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya didakwa melakukan kesalahan sama terhadap seorang lagi wanita Mongolia berumur 20 tahun.

Sementara itu Huzir berkata, tindakan untuk menuduh suspek dalam kes tersebut membuktikan bahawa PDRM tidak pernah berkompromi dan tidak juga sesekali melindungi sebarang perlakuan jenayah oleh mana-mana pegawai atau anggota dalam pasukan.

Artikel Berkaitan:

“Ketegasan dalam mengambil tindakan tersebut menunjukkan bahawa PDRM sentiasa menegakkan undang-undang tanpa mengira status dan kedudukan seseorang.

“Malangnya, terdapat segelintir masyarakat yang seolah-olah cuba mempertikai kewibawaan PDRM dalam mengendalikan kes yang melibatkan pegawainya sendiri,” katanya.

Huzir turut mengingatkan masyarakat sentiasa berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan yang dianggap tidak matang khususnya dalam melontarkan komen atau ulasan dalam siasatan kes ini.

“Kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang cuba untuk mencetuskan persepsi negatif dan kegusaran awam dalam menangani apa jua kes yang disiasat oleh PDRM.

“Jadilah masyarakat yang bertanggungjawab dalam membina negara, bangsa ke arah masyarakat yang aman dan sejahtera,” katanya.