Popularkan semula nama Kampung Jawa

Jalan Kee Ann yang turut dihiasi tanglung sempena perayaan Tahun Baru Cina.
Jalan Kee Ann yang turut dihiasi tanglung sempena perayaan Tahun Baru Cina.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Kerajaan negeri berusaha untuk menaikkan semula nama Kampung Jawa sebagai lokasi tumpuan utama sempena perayaan Tahun Baru Cina pada tahun ini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Tey Kok Kiew berkata, ia penting diberikan perhatian supaya kawasan itu tidak terus suram sekali gus menjadi destinasi idea khusus masyarakat Cina untuk membeli-belah bagi menyambut hari kebesaran itu.

Menurutnya, pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah juga telah mengambil inisiatif memasang lebih 500 lampu hiasan tanglung di sekitar kawasan itu termasuk tiga jalan utama iaitu Jalan Jawa, Jalan Bunga Raya dan Jalan Kee Ann.

Kok Kiew
Kok Kiew

Selain itu, katanya turut disediakan tapak sewa untuk memberi peluang kepada orang ramai berniaga sempena musim perayaan itu dengan kadar sewa berpatutan iaitu sebanyak RM200 bagi setiap tapak yang mana kebanyakan telah diisi oleh peniaga dari pelbagai produk jualan termasuk pembuatan kuih tradisional, pakaian dan lain-lain lagi.

"Sebenarnya lot tapak jualan ini telah pun bermula semalam dan akan berakhir selepas sambutan Tahun Baru Cina yang mana telah mendapat sambutan positif walaupun ia pertama kali dianjurkan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Cina.

"Saya difahamkan hanya tinggal lebih kurang sepuluh tapak yang masih kosong dan kita percaya usaha untuk menaikkan semula lokasi ini dapat dilaksanakan dan pelancaran lokasi dengan aktiviti menyalakan lampu tanglung akan diadakan esok," katanya ketika di temui di Jalan Bendahara, di sini, hari ini.

Kok Kiew yang juga Adun Banda Hilir berkata, setakat ini pihaknya berpuas hati dengan langkah proaktif yang dimainkan PBT setakat ini bagi memeriahkan kawasan tumpuan ramai seperti lokasi pelancongan dan bersejarah dengan hiasan lampu berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Tidak sewajarnya timbul suasana suram dan PBT tidak mengambil tindakan sedangan mereka begitu komited membantu bukan sahaja dari segi lampu tanglung malah wang ringgit untuk membantu komuniti," katanya.