Inspektor polis didakwa memperdagangkan dua wanita Mongolia

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KLANG - Seorang Inspektor polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan memperdagangkan dua wanita warga Mongolia bagi tujuan eksploitasi seks, awal bulan ini.

Tertuduh, Hazrul Hizham Ghazali, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar.

Mengikut pertuduhan pertama, pemuda itu didakwa memperdagangkan seorang wanita warga Mongolia berusia 36 tahun, yang bukan seseorang bagi maksud eksploitasi seks.

Sementara pertuduhan kedua, dia yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, didakwa melakukan kesalahan sama terhadap seorang lagi wanita Mongolia berumur 20 tahun.

Kesalahan didakwa dilakukan di dua bilik berasingan di sebuah hotel di Petaling Jaya antara jam 10.30 malam pada 10 April hingga 8.30 malam, 11 April lalu.

Bagi setiap pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun tetapi tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

ARTIKEL BERKAITAN - Dua kertas siasatan kes rogol wanita Mongolia

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Al-Saifi Hashim mencadangkan jaminan diberi pada kadar RM15,000 bagi setiap pertuduhan selain serahan pasport dan melapor diri ke balai polis berdekatan.

Bagaimanapun, peguam, Shah Rizal Abdul Manan yang mewakili tertuduh memohon jaminan pada kadar yang rendah kerana anak guamnya sudah digantung tugas.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport serta melapor diri ke balai polis setiap bulan sehingga tamat kes.

Serahan dokumen dan sebutan semula kes ditetapkan pada 17 Jun ini.