X

Kindly register in order to view this article
!

PKP: Sebulan tertangguh, hasrat pasangan bernikah tercapai

Syeikh Zainul Mukhtar menerangkan proses akad nikah kepada Muhamad Padzeli Aznan (tengah) dan Nor Haslinda Hashim (kanan) yang juga pasangan pertama bernikah semasa tempoh PKP di Langkawi hari ini. - Foto Bernama
A
A

LANGKAWI - Tanggal 6 Ramadan menjadi detik paling tidak dapat dilupakan buat Muhamad Padzeli Aznan dan Nor Haslinda Hashim apabila menjadi pasangan pertama di pulau ini bernikah ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Majlis pernikahan pasangan berusia 27 dan 25 tahun itu, dilaksanakan di Kompleks Pejabat Agama Daerah Langkawi, di sini dengan dua kali lafaz yang disempurnakan oleh Pegawai Agama Daerah Langkawi Syeikh Zainul Mukhtar Abdullah Sirajuddin.

Bapa pengantin perempuan Hashim Awang, menjadi wali pernikahan dengan dua petugas Pejabat Agama Daerah Langkawi.

Muhammad Padzeli, yang bekerja di sebuah hotel di sini berkata, urusan akad nikah mereka dijadual pada 27 Mac lalu namun terpaksa ditangguhkan berikutan pelaksanaan PKP.

"Saya dapat panggilan dari Pejabat Agama Daerah Langkawi pada Ahad lalu (26 April), mereka tanya sama ada mahu teruskan majlis akad nikah dalam tempoh PKP atau tangguhkan lagi.

"Selepas berbincang dengan Haslinda, kami putuskan untuk terima dan buat pada hari ini," katanya ketika ditemui di Kompleks Pejabat Agama Daerah Langkawi di sini.

Dalam pada itu, Nor Haslinda melahirkan rasa syukur selepas tertangguh lebih sebulan akhirnya urusan pernikahan mereka dapat disempurnakan.

"Dalam tempoh penangguhan, saya reda dan faham urusan pernikahan tidak dapat diteruskan kerana PKP. Hari ini saya rasa bersyukur dan gembira apabila mendapat kelulusan untuk bernikah dalam tempoh PKP.

"Berkenaan majlis kenduri kami belum rancang lagi, nak tunggu hingga habis PKP baru fikir semula," katanya yang berasal dari Kampung Hujung Penarak di sini.

Sementara itu, Syeikh Zainul Mukhtar berkata, sejumlah 38 pasangan diluluskan untuk dinikahkan dalam tempoh PKP di Langkawi.

"Hari ni seramai lima pasangan akan dinikahkan. Bakinya akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut hari yang ditetapkan.

“Urusan akad nikah setiap pasangan ambil masa kira-kira 20 minit, semua mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan dalam tempoh PKP dan memenuhi rukun serta syarat sah pernikahan," katanya.

"Menurutnya, ketika proses pernikahan hanya pasangan serta wali pernikahan dibenarkan hadir. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus