Bekas banduan paling lama dedah detik ubah hidup

Jamil ketika temu bual eksklusif yang disiar melalui saluran YouTube SUARANTBcom.
Jamil ketika temu bual eksklusif yang disiar melalui saluran YouTube SUARANTBcom.
A
A
A

SHAH ALAM - Menyedari hakikat bahawa hukuman yang bakal dilalui tidak mempunyai penghujungnya kecuali mati, Jamil Wahab atau lebih mesra disapa Pak Jamil Hayat bertekad untuk berubah pada tanggal 1 Januari 1990.

Jamil, 63, yang sebelum ini menjadi banduan seumur hayat paling lama dipenjara iaitu selama 40 tahun akhirnya dibebaskan setelah mendapat pengampunan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar pada 22 Mac lalu.

Menceritakan lebih lanjut 'penghijrahan' itu, Jamil yang berasal Kampung Guang, Keliwang, Sembawa di Indonesia berkata, bermula detik itulah dia memilih untuk kembali ke jalan ALLAH SWT.

"(Pada tarikh itu) saya sudah mula bertekad untuk ubah haluan (dengan berhijrah) sebab saya fikir hukuman yang dilalui ini tidak ada penghujungnya kecuali mati.

"Pada tanggal 1 Januari 1990, saya cuci tangan (mengambil wuduk) (dan) menghadap kiblat (menunaikan solat) kerana saya mulai sedar bahawa (jalan yang ada hanyalah) kita harus berbuat baik.

"Setelah itu, saya ikuti kelas tadarus (dan) mendalami lagi al-Quran dan bertaubat. (Ketika dalam penjara itu) Saya juga menjadi imam tarawih," katanya menerusi temu bual eksklusif yang disiar melalui saluran YouTube SUARANTBcom.

Jamil dalam masa sama turut berkongsi 'pengisian' hidupnya ketika menjalani hukuman antaranya memilih untuk bekerja sebagai tukang kayu.

Selain disebabkan minat bekerja, Jamil mengakui faktor lain dirinya memilih untuk menjadi tukang kayu kerana ingin menghirup udara luar.

"Kalau kita (pilih) untuk tidak bekerja, lagi susah (berada dalam penjara) kerana kita hanya akan duduk di dalam sel (tetapi) kalau kita bekerja, kita berpeluang untuk mengenali pegawai (penjara dan rakan-rakan (banduan) lain," katanya yang turut bekerja membuat kerusi daripada rotan selepas menjadi tukang kayu.

Pada 18 April lalu, Pengarah Penjara Taiping Penolong Kanan Komisioner Penjara, Nazri Mohamad berkata, Jamil dimasukkan ke Penjara Johor Bharu pada Februari 1983 setelah dijatuhi hukuman Penjara Seumur Hayat dan enam sebatan rotan di bawah Seksyen 5 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru.

Jamil kemudian dipindahkan ke Penjara Taiping pada 1986 untuk meneruskan hukumannya.

Menurut Nazri pada 22 Mac, Jamil mendapat pengampunan pembebasan daripada Persidangan Lembaga Pengampunan Negeri Johor dengan syarat dia hendaklah dihantar pulang ke Indonesia dan membuat akujanji tidak akan kembali ke negara ini lagi.