Taktik licik tekong guna orang tengah jalankan aktiviti penyeludupan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesan penglibatan penduduk tempatan sebagai orang tengah yang membantu sindiket tekong darat dan laut bagi membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui perairan negara ini.

Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, melalui risikan dan pemantauan pihaknya, sindiket berkenaan turut memberi upah kepada orang tengah tersebut bagi untuk melancarkan kegiatan mereka daripada dihidu pihak berkuasa.

Beliau tidak menolak kemungkinan kegiatan berkenaan berlangsung sejak lama dengan maklumat disalurkan melalui panggilan telefon dan media sosial.

"Macam kita beli tiket bas, dia ada ejen yang uruskan, jadi kemasukan PATI ini juga diuruskan pihak tekong dengan bantuan orang tengah," katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Zubil berkata, modus operandi tekong tersebut juga cukup teratur lebih-lebih lagi ketika pihaknya sedang menjalankan pemantauan di laut.

Beliau turut mengakui, penglibatan orang tengah menyebabkan penyeludupan PATI sukar dibanteras dan berharap kerjasama orang awam melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mendapati aktiviti mencurigakan.

"Jangan biarkan mereka masuk ke kawasan kampung atau lorong-lorong tikus ini kerana mereka melalukan kesalahan jenayah menyeludup PATI.

"Kebanyakan mereka daripada golongan tekong ini mengaut keuntungan ribuan ringgit hanya dengan membawa masuk PATI ke Malaysia dan perkara ini jika mahu dikekang perlu kerjasama semua pihak," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Dalam kes terbaharu, pihak berjaya menangkap dua suspek yang disyaki dalang kepada aktiviti PATI yang beroperasi di sekitar utara dan selatan semenanjung menerusi Op Dallal melibatkan urus niaga jenayah penyeludupan manusia.

"Tangkapan pertama dibuat pada 17 April lalu terhadap lelaki warga Myanmar berusia 36 tahun di sebuah rumah teres di Jalan Bersatu, Kedah dan seorang lagi pada 19 April lalu yang melibatkan seorang lelaki warga Myanmar berusia 31 tahun di sebuah rumah teres di Guar Chempedak Kedah," katanya.

Menurutnya, tangkapan dilakukan berikutan maklumat siasatan lanjut ke atas suspek pertama dan hubung kait buku catatan dalang utama yang merekodkan penerimaan bayaran hasil aktiviti penyeludupan PATI dipercayai etnik Rohingya pada 5 April lalu di perairan Langkawi.

Kedua-dua suspek disyaki menjadi dalang dan tekong darat dalam urusan keluar masuk PATI dan disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670).

Menurutnya, kedua-dua suspek juga akan menjalani pertuduhan di mahkamah sekitar pertengahan Mei ini.