Muip agih RM14.20 juta agihan zakat dalam tempoh PKP

Infografik agihan zakat oleh pihak Muip sepanjang PKP sehingga 27 April lalu.
Infografik agihan zakat oleh pihak Muip sepanjang PKP sehingga 27 April lalu.
A
A
A

KUANTAN - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) mengagihkan RM14.20 juta agihan zakat di negeri ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 27 April lalu.

Agihan tersebut memberi manfaat kepada 84,386 penerima daripada pelbagai kategori termasuk dalam kalangan keluarga positif koronavirus (Covid-19).

Muip dalam kenyataan dimuat naik di Facebook rasminya semalam memaklumkan, daripada keseluruhan agihan zakat yang diperuntukkan itu, RM250,000 sebagai bantuan sekali beri atau 'one off' kepada kerajaan negeri dan RM200,000 untuk bantuan khas kepada 200 keluarga pesakit positif Covid-19.

"Sebanyak RM117,000 diperuntukkan bagi pembelian peralatan hospital dan pengurusan Covid-19 di tiga hospital di negeri ini.

"Turut dibantu 200 gelandangan membabitkan jumlah agihan RM64,000," kata kenyataan itu.

Selain itu, sebanyak RM9.52 juta turut diperuntukkan untuk bantuan am melibatkan lebih 47,000 penerima.

Menurutnya, seramai 3,030 penerima bantuan bulanan turut menerima agihan zakat berjumlah RM606,000 sebagai bantuan tambahan dan seramai 9,664 penerima bantuan tahunan menerima agihan zakat sebanyak RM1.93 juta sebagai bantuan tambahan, selain peruntukkan sebanyak RM1.47 juga untuk bantuan makanan asasi dan hamper dengan bilangan penerima seramai 23,661 orang.

Dalam kenyataan sama, Muip turut menyeru umat Islam di negeri ini menunaikan tanggungjawab menunaikan zakat fitrah melalui kemudahan pembayaran dalam talian yang disediakan memandangkan tiada khidmat amil disediakan ekoran PKP ini.

Artikel Berkaitan:

Pembayaran boleh dibuat melalui pautan https://ezakat.muip.gov.my/zakatfitrah atau menggunakann aplikasi SnapNpay dan PahangGo.