Masih ada yang dijerat 'penyangak scammer'

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KETIKA rakyat negara ini sedang tersepit dengan ancaman wabak pandemik Covid-19, media cetak dan massa bukan sahaja bekerja keras melaporkan pelbagai bentuk cerita tentang virus berkenaan, namun kita juga tidak lari daripada kisah yang semakin 'jemu' didengar iaitu jenayah siber.

Dalam zaman canggih ini, apatah lagi didorong dengan kecanggihan teknologi, pelbagai modus operandi jenayah siber dikesan untuk suspek mengaut untung.

Jenayah siber meliputi banyak jenis antaranya African Scam, Love Scam, Parcel Scam, Pembelian Online, Pinjaman Tidak Wujud (PTW) dan yang paling popular iaitu Macau Scam.

Apa yang boleh diulaskan tentang Macau Scam di sini adalah bagaimana sindiket memanipulasi mangsa untuk memperdaya hingga mangsa ini berputih mata apabila wang simpanan lesap begitu sahaja.

Bagai serangan virus juga, wang yang disimpan belasan dan mungkin berpuluh tahun hilang begitu sahaja. Bukan nilai yang sedikit, bayangkan jumlah kerugian yang berlaku mampu mencecah ratusan ribu ringgit. Itu bukan jumlah yang sedikit!

Macau Scam ini membabitkan suspek atau ahli sindiket menyamar sebagai agensi penguatkuasa seperti polis, kastam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pihak mahkamah, serta pegawai bank dengan menakut-nakutkan mangsa kononnya mangsa terlibat dalam jenayah penggubahan wang haram, dadah dan sebagainya.

Terdapat juga kes di mana suspek mendakwa mangsa mempunyai tunggakan saman mahu pun cukai dan diminta untuk disegerakan pembayarannya. Suspek akan menggunakan kaedah dengan menelefon mangsa secara rawak.

Di sini, mangsa yang bijak akan selamat, manakala mangsa yang cetek pengetahuannya akan terjerat. Malang tidak berbau!

Artikel Berkaitan:

Secara logiknya, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dikuatkuasakan, masih lagi ada kes individu yang menjadi mangsa. Bagaimana itu boleh berlaku?

Biar pun berada di rumah dan kekangan untuk keluar rumah, mangsa masih boleh terpedaya untuk menyerahkan wang dan maklumat perbankan secara membabi buta.

Peliknya, biar pun polis sering melaksanakan pelbagai langkah pencegahan menerusi kempen dan lain-lain medium, namun kes masih tetap dilaporkan berlaku.

Ini terbukti, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan pelbagai agensi gigih melaksanakan kempen. Bukan sahaja datang kepada masyarakat dengan ceramah-ceramah, tapi kempen ini juga disebarkan menerusi media sosial seperti Facebook iaitu medium yang sering dimainkan oleh masyarakat hari ini khususnya.

Malangnya kes ini masih berlaku. Mengapa? Adakah sebab masyarakat kita kurang celik dan malu mahu mengambil iktibar? Sedih.

Bukan itu sahaja, laporan kes yang direkodkan juga kerap dilaporkan di dada akhbar.

Faktanya, 9 April lalu, akhbar tempatan melaporkan seorang guru wanita berusia 38 tahun di Johor, kerugian RM387,000 dipercayai ditipu individu yang menyamar sebagai polis trafik menerusi panggilan telefon.

Guru sebuah sekolah rendah itu dikatakan menerima panggilan telefon daripada suspek pada 4 Februari memaklumkan mangsa terbabit dengan kes langgar lari.

Modus operandi yang dikesan adalah mangsa diarahkan suspek untuk membuka akaun bank yang baharu atas nama mangsa, bertujuan meyakinkan mangsa, wang mangsa adalah ‘selamat’.

Mangsa kemudian diarahkan suspek untuk memindahkan semua wang ke dalam akaun bank mangsa yang baharu dibuka sebelum suspek menghilangkan diri.

Tidak cukup dengan itu, mangsa juga diarahkan untuk merahsiakan perkara itu daripada keluarga dan kawan-kawan.

Bagi memastikan bukti penipuan itu dikesan, suspek mengarahkan mangsa untuk memadamkan perbualan telefon (Whatsapp) dan menghapuskan slip bank yang berkaitan bagi menghilangkan bukti dan keterangan.

Sindiket bagai 'hantu' apabila lepas mengganggu terus menghilangkan diri.

Apa yang berlaku ini adalah amat perlu diambil berat oleh semua kalangan warga umur dan bangsa.

Celiklah mata wahai masyarakat bahawa jenayah scammer ini sentiasa mencari peluang memburu mangsa yang cetek pengetahuannya. Bukan sahaja Macau Scam, tapi kes penipuan lain.

Ingat dan sedarlah, bukalah hati seluasnya bahawa pihak berkuasa tidak akan berurusan dengan masyarakat melalui panggilan telefon. Kalau 'dieorang' (polis) nak sangat tangkap anda yang bersalah, sudah tentu mereka sendiri cari anda di rumah.

Bayangkan, jika satu kes mampu merekod kerugian ratusan ribu, berapakah jumlah itu sekiranya lebih daripada satu kes? Sudah tentu makan jutaan ringgit. Bagaimana nasib si mangsa ini?

Apa yang boleh dititikberatkan juga adalah, mungkin anak-anak mengetahui kes scammer sebegini, tapi bukan ibu bapa anda yang semakin berusia.

Apa yang boleh ditekankan adalah perlunya untuk memantau ibu bapa masing-masing kerana berdasarkan perkembangan hari ini, kebanyakan mangsa tipu terdiri daripada warga tua.

Telefonlah dan kerap bertanya khabar itu memainkan peranan penting.

Apa yang boleh ditekankan adalah orang ramai disaran untuk membuat semakan ke atas nombor akaun yang diberikan sindiket, jangan mudah percaya dengan mana-mana pihak yang mengaku daripada agensi kerajaan dan kenalan baru yang dikenali di media sosial apatah lagi diminta untuk memasukkan wang ke atas akaun milik individu lain.

Jika was-was, boleh semak melalui http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ bagi melihat sama ada akaun atau nombor telefon itu pernah disiasat atau sebaliknya.

* Muhammad Afham Ramli ialah Wartawan Sinar Harian Meja Jenayah