[LAPORAN KHAS] Industri penerbangan makin tenat

Industri penerbangan negara sememangnya terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 yang turut mengakibatkan syarikat penerbangan besar di serata dunia dirundung kerugian. - Foto Bernama
Industri penerbangan negara sememangnya terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 yang turut mengakibatkan syarikat penerbangan besar di serata dunia dirundung kerugian. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Apabila salah sebuah syarikat penerbangan terbesar Britain, Flybe terpaksa mengumumkan kekalahan mereka dalam peperangan ke atas Covid-19 sehingga memaksa syarikat itu menghentikan semua operasi penerbangannya pada Mac lalu, ternyata krisis industri awan biru semakin tenat.

Flybe menjadi korban pertama syarikat penerbangan yang terpaksa mengisytiharkan muflis selepas 'burung-burung besi' sudah tidak boleh lagi membelah awan biru merentasi dunia.

Dengan syarikat perundingan yang berpusat di Sydney, CAPA Centre for Aviation mendedahkan lebih banyak syarikat penerbangan di seluruh dunia akan muflis menjelang akhir Mei ini, siapakah yang bakal menjadi mangsa seterusnya selepas Flybe.

Apabila banyak pesawat tersadai tanpa penumpang, Ketua Pengarah, International Air Transport Association (IATA), Alexandre de Juniac menganggarkan, syarikat penerbangan global akan kerugian sehingga AS$314 bilion (RM1.36 trilion) akibat krisis Covid-19. Ia hampir 40 peratus daripada AS$800 bilion daripada nilai industri penerbangan global tahun lalu.

Ternyata belum pun sampai Mei, malangnya terdapat beberapa syarikat penerbangan lain menjejaki Flybe turut 'tumpas' akibat kesan penularan virus maut itu antaranya Trans States Airlines dan Virgin Australia.

Virgin
Virgin

Di Malaysia, walaupun belum ada syarikat penerbangan yang mengisytiharkan muflis, namun langkah pengurangan kos telah berlaku dengan syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) misalnya menawarkan cuti tanpa gaji sukarela kepada 13,000 kakitangannya.

Persoalannya kini berapa lama syarikat penerbangan tempatan mampu bertahan dan berapa lama masa diperlukan oleh industri penerbangan untuk benar-benar pulih?

Artikel Berkaitan:

Pakar perjalanan global, Atmosphere Research Group menjangkakan pemulihan perlahan akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun selepas virus 'berjaya dikawal'. Pihaknya turut mengatakan trafik 'normal' penerbangan tidak akan berlaku sehingga tahun 2023.

Kumpulan pemikir terbabit bagaimanapun bersetuju dengan peramal dan eksekutif industri penerbangan lain bahawa pemulihan akan berlaku secara beransur-ansur berbanding pemulihan segera selain dipacu perjalanan domestik.

Berdasarkan kepada ramalan tersebut, bagaimana pula situasi industri penerbangan di Malaysia?

Presiden Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam), Ismail Nasaruddin mengakui, industri penerbangan negara sememangnya terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 yang turut mengakibatkan syarikat penerbangan besar di serata dunia dirundung kerugian.

"Apa yang penting kini, pemain industri penerbangan negara perlu merangka pelan survival pasca Covid-19," kata Ismail kepada Sinar Harian semalam.

Menurut Ismail, syarikat penerbangan di negara ini seperti MAS, AirAsia dan Malindo harus memikirkan pelan serta strategi bagi memastikan kelangsungan syarikat masing-masing sebaik kembali beroperasi kelak.

Ismail Nasaruddin
Ismail Nasaruddin

"Pelan pasca Covid-19 ini adalah untuk mencari jalan paling terbaik bagi mengelakkan perniagaan syarikat penerbangan mereka daripada menjadi muflis. Di luar negara misalnya, kita sudah lihat beberapa syarikat penerbangan besar sukar untuk bertahan ketika Covid-19 ini sehingga banyak syarikat ini telah mengambil keputusan untuk menutup operasi dan peniagaan mereka berikutan menjangka kerugian besar pada masa depan.

"Selain memikirkan solusi pasca Covid-19, syarikat penerbangan negara juga perlu segera berbincang dengan pihak-pihak yang boleh membantu mereka termasuklah kerajaan dan juga pihak pemajak bank (leased bank).

"Pihak bank ini juga merupakan pihak yang paling terbaik untuk membantu syarikat penerbangan ini dalam meringankan beban perniagaan pasca Covid-19 kerana banyak syarikat penerbangan ini telah mengambil kredit leasing jangka masa panjang dan pendek sebelum krisis ini berlaku," kata Ismail sambil menambah syarikat penerbangan persendirian mungkin akan lebih banyak terjejas akibat Covid-19.

Menjawab pertanyaan bila industri penerbangan negara akan kembali pulih, Ismail berkata, keadaan mungkin pulih selepas beberapa bulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan namun ia turut bergantung kepada keyakinan penumpang pula untuk kembali melakukan perjalanan mereka.

"Selain itu, ada pula SOP dan langkah baharu harus dilaksanakan oleh pihak kerajaan buat syarikat penerbangan ini bagi mengelakkan penyebaran semula Covid-19.

"Besar kemungkinan kapasiti penumpang akan menjadi lebih rendah buat masa ini dan ia pasti akan menjejaskan keadaan syarikat penerbangan tersebut," katanya.

Menurut Ismail, yang pasti industri penerbangan akan berdepan dengan a new normal dari segi SOP dan kriteria pergerakan penumpang untuk mengekalkan terus proses penghapusan wabak Covid-19.

INFO

Senarai syarikat penerbangan yang muflis atau menggantung operasi

Flybe (UK) - Syarikat penerbangan Flybe yang mengendalikan kira-kira 40 peratus penerbangan domestik di UK mengambil langkah mengisytiharkan muflis pada 5 Mac lalu berikutan krisis Covid-19.

Trans States Airlines (AS) - Syarikat penerbangan serantau, Trans States Airlines yang berpengkalan di Missouri telah merancang untuk menutup perniagaan menjelang penghujung 2020 dan bergabung operasi bersama ExpressJet Airlines. Namun disebabkan krisis Covid-19, Trans States Airlines mengambil keputusan menghentikan operasi pada 1 April.

Compass Airlines (US) - Syarikat penerbangan serantau, Compass Airlines milik Trans States Holdings yang mengendalikan penerbangan untuk American Airlines di bawah jenama American Eagle brand turut menghentikan operasi pada bulan April berikutan pengurangan kapasiti domestik sehingga 80 peratus menjelang bulan Mei.

Virgin Australia (Australia) - Virgin Australia berpengkalan di Brisbane pada April lalu mengambil langkah 'voluntary administration' bersamaan Chapter 11 Bankruptcy Code AS pada 21 April.

Virgin Australia berkata ia akan meneruskan operasi sepanjang proses penstrukturan semula dan langkah 'voluntary administration' itu diambil selepas permohonan bantuan yang dibuat kepada kerajaan Australia ditolak.