Pengunjung pasar disyor tampil buat saringan jika bergejala

Dr Noor Hisham (kanan) pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan. - Foto Bernama
Dr Noor Hisham (kanan) pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Pengunjung pasar yang mempunyai gejala jangkitan koronavirus (Covid-19) disyorkan tampil membuat ujian saringan di fasiliti kesihatan terdekat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ujian saringan perlu dilakukan bagi mengesan sekiranya wabak itu telah menjangkiti pengunjung pasar.

"Sama seperti kluster tabligh, mereka dinasihatkan tampil melakukan saringan sekiranya bergejala seperti batuk, selesema dan sesak nafas," katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Selain itu, menurutnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melakukan saringan terhadap peniaga pasar awam lain termasuk Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur.

"Kita percaya ada pekerja pasar yang menghadiri perhimpunan tabligh dan ia telah menjangkiti yang lain. Tindakan (saringan) sama akan dilakukan," katanya.

Pada perkembangan sama, Dr Noor Hisham berkata, barisan hadapan di hospital akan disaring setiap dua minggu apabila kementerian itu memperoleh kit pengesan pantas antigen.

"Setakat ini kita belum dapat kit ujian itu dan dijangka tiba dalam akhir minggu ini atau minggu depan," katanya.

Kit ujian antigen akan digunakan di pintu masuk utama negara ini termasuklah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bagi membolehkan pengesanan Covid-19 dilakukan dengan cepat dan tepat.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, KKM mendedahkan ketetapan kit ujian antigen itu pada kadar 100 peratus manakala sensitivitinya 85 peratus.

Keputusan ujian saringan Covid-19 dengan menggunakan kit ujian antigen itu akan diperolehi dalam tempoh 30 hingga 45 minit.