PRN: Semua calon PH, BN lepasi ujian saringan kesihatan

Dr Zaliha ditemui pemberita selepas proses penamaan calon di Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) pada Sabtu.
Dr Zaliha ditemui pemberita selepas proses penamaan calon di Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) pada Sabtu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Semua calon Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang menghantar borang pencalonan untuk bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) pada Sabtu telah melepasi ujian saringan kesihatan.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, kriteria tersebut diambil berat oleh semua parti yang bertanding agar calon yang dipilih mampu menggalas tanggungjawab sehingga habis penggal.

Jelas beliau, ujan saringan kesihatan itu merupakan prosedur operasi standard (SOP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi memastikan calon yang dipilih layak bertanding serta tidak menghidap penyakit yang serius.

"Bagi calon-calon daripada parti lain saya tidak pasti namun biasanya parti-parti akan melakukan sedemikian (ujian saringan kesihatan).

"Kita perlu pastikan calon kita (PH dan BN) bukan sahaja berwibawa untuk bertanding kerana membawa harapan parti dan kerajaan perpaduan dan berjaya menggalas tanggungjawab sehingga habis penggal," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mengiringi calon PH dan BN di kerusi Parlimen Kuala Terengganu, Azan Ismail dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, Datuk Mohd Sabri Alwi di menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) pada Sabtu.

Sementara itu, Zaliha turut menasihatkan supaya mereka yang mempunyai gejala kesihatan mengamalkan langkah pencegahan penyakit bagi mengelak sebarang jangkitan termasuk Covid-19 sepanjang tempoh berkempen dan pada hari pengundian 12 Ogos depan.

"Setakat ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih menggunakan garis panduan dan SOP sedia ada untuk PRN di enam negeri ini.

"Namun, jika ada keperluan baharu, kita akan adakan satu perjumpaan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk berbincang mengenai perkara itu," ujarnya.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!