Lagi kes ditipu 'sarjan'

No Image Caption
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang penjawat awam mengalami kerugian RM4,960 selepas termasuk perangkap sindiket Macau Scam pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, lelaki berusia 39 tahun itu dihubungi seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai kakitangan sebuah syarikat telekomunikasi.

Menurutnya, suspek memberitahu mangsa kononnya namanya telah didaftarkan ke atas kegiatan judi online haram.

"Selepas bercakap dengan wanita tersebut, panggilan itu kononnya disambung ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuantan, Pahang dan mangsa bercakap pula dengan seorang lelaki berpangkat 'sarjan'.

"Suspek memaklumkan mangsa mempunyai dua waran tangkap dan meminta mangsa memindahkan kesemua wang simpanan ke akaun pemegang amanah bagi memudahkan urusan siasatan akaun," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek memberitahu mangsa kes itu perlu diselesaikan segera.

"Suspek mengugut mangsa bahawa jika dia tidak mengikut arahan tersebut, mangsa akan ditangkap. Mangsa kemudiannya menerima satu nombor akaun melalui telefon bimbitnya. Tanpa berfikir panjang, dia bergegas ke bank terdekat untuk memindahkan wang simpanan seperti diarahkan suspek.

"Mangsa kemudiannya diarahkan membuat bayaran jaminan polis pula sebelum jam 3 petang. Menyedari sesuatu yang pelik, mangsa membuat carian di internet dan mengesyaki dirinya telah ditipu lalu membuat laporan polis," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.