X

Kindly register in order to view this article
!

Lebih 500 pelajar IPT tiba di Kedah

Kesemua beg pelajar dikumpulkan untuk proses nyahkuman/sanitasi sebelum dibawa pulang ke rumah masing-masing. -FOTO: JBPM Kedah
A
A

ALOR SETAR - Seramai 561 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang terkandas di kampus masing-masing selamat tiba ke Kedah awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, kesemua pelajar terbabit dibawa dengan menaiki 32 buah bas dan tiba di ibu pejabat polis daerah masing-masing sekitar 4 pagi tadi.

Menurutnya, pelajar paling ramai diturunkan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, membabitkan 130 pelajar yang dibawa pulang dengan sembilan buah bas.

“Seramai 80 pelajar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM) serta Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dibawa enam bas tiba di IPD Kuala Muda,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sayani berkata, seramai 62 pelajar tiba di IPD Kubang Pasu sekitar 7.30 pagi tadi.

Anggota bomba melakukan proses nyahkuman/sanitasi ke atas bas yang digunakan untuk mengangkut pelajar dari ibu negara yang tiba di IPD Padang Terap. -FOTO: JBPM Kedah
Anggota bomba melakukan proses nyahkuman/sanitasi ke atas bas yang digunakan untuk mengangkut pelajar dari ibu negara yang tiba di IPD Padang Terap. -FOTO: JBPM Kedah

“Seramai 36 pelajar tiba di pekarangan Majlis Daerah Baling untuk proses penghantaran pulang. Seramai 27 pelajar pulang bersama waris manakala sembilan pelajar dihantar dengan kenderaan polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) kerana waris tiada kenderaan,” katanya.

Menurutnya, pihak bomba telah melakukan proses nyahkuman/sanitasi ke atas bas termasuk semua kenderaan yang digunakan untuk menghantar pelajar terbabit pulang.

“Petugas Kesihatan turut memberikan taklimat berkenaan langkah-langkah pencegahan yang perlu dilakukan oleh pelajar setelah pulang ke rumah,” katanya.

Sayani berkata, antara daerah lain membabitkan 15 pelajar di Bandar Baharu, masing-masing 13 di Pendang dan Padang Terap.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan seramai 1,128 pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menjadi kumpulan pertama pulang ke kampung halaman bermula malam tadi.

Beliau berkata, penghantaran pelajar itu melibatkan sembilan universiti menggunakan 49 buah bas ke 17 destinasi.

Daripada jumlah itu, seramai 863 individu dihantar pulang dari zon tengah ke zon utara.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!