Rasuah: Polis trafik diperintah bela diri

A
A

KUALA LUMPUR - Seorang anggota polis trafik berpangkat Lans Koperal diperintah membela diri atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu terhadap Lady Johari Idris, 55, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh dan mahkamah menetapkan esok (18 Jan) untuk lelaki itu membela diri.

Tertuduh yang diwakili peguam Mohd Shahrullah Khan memberitahu mahkamah, dia akan memberi keterangan secara bersumpah.

Sebanyak 11 saksi pendakwaan dipanggil pada perbicaraan kes itu.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa meminta untuk dirinya suapan wang tunai RM4,000 daripada Chong Kun Choi, 57, sebagai dorongan untuk tertuduh tidak mengambil tindakan undang-undang dan melepaskan pekerja Chong bernama Anhar Mansor yang disyaki memiliki kad pengenalan palsu.

Dia juga dituduh memperoleh RM2,000 daripada Chong bagi tujuan sama. Lady Johari didakwa melakukan perbuatan itu di Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee, Jalan Bandar di sini pada jam 10.40 pagi, 13 November 2012.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) dan 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Afiqah Ab Razak. - Bernama