Ibu kecewa anak alami kecacatan kekal  

Rohaya bersama anaknya di kediaman mereka di Kampung Pulau Nyior, Yan.
Rohaya bersama anaknya di kediaman mereka di Kampung Pulau Nyior, Yan.
A
A
A

YAN - Seorang ibu kecewa apabila anaknya mengalami kecacatan kekal ekoran terjatuh daripada basikal ketika latihan di Cameron Highlands Jun tahun lalu.

Rohaya Yaacob, 48, berkata anaknya itu sangat meminati basikal dan dia sendiri turut mendorong anaknya itu.

Rohaya menunjukkan sijil yang pernah diperoleh anaknya ketika menyertai pertandingan lumba basikal.
Rohaya menunjukkan sijil yang pernah diperoleh anaknya ketika menyertai pertandingan lumba basikal.

Katanya, dia yang mendaftarkan anaknya, Muhamad Afiq Afifi Mahadzir, 15 untuk menyertai kelab berbasikal berkenaan dan sering menjalani latihan pada setiap hari.

"Sebelum ni dah banyak kali dia pi latihan dan juga masuk pertandingan tapi tak pernah terlibat kemalangan," katanya.

Muhamad Afiq, mengalami kecacatan kekal pada tangan bahagian kanannya dan telah menjalani pembedahan untuk memasukkan besi.

"Bulan Mac nanti dia kena jalani satu lagi pembedahan atas sebab masalah saraf pada bahagian bahu dan lengan.

"Saya risau memikirkan keadaan anak bongsu saya sebab dia memang tak boleh nak urus diri sendiri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, di sekolah Muhamad Afiq hanya makan roti kerana malu untuk makan menggunakan tangan kiri.

"Nak makan pun tak boleh gerakkan tangan kanan tu apatah lagi nak buat benda lain," katanya.

Rohaya berkata, sebagai ibu dia kecewa apabila pihak yang membawa anaknya menyertai latihan di Cameron Highlands langsung tidak datang menjenguk keadaan anak.

"Depa tak mai melawat langsung dan cuma masukkan wang berjumlah RM500 ke dalam bank sahaja," katanya.

Menurut Rohaya, doktor tidak memberi sebarang harapan untuk anaknya sembuh sepenuhnya.

"Kalau sembuh pun ia mengambil masa yang agak lama dan cuma 80 peratus sahaja," katanya.