Ibu, tiga anak maut kereta terbakar rempuh lori

Empat maut selepas kereta dinaiki terbakar akibat merempuh bahagian belakang sebuah lori dekat Kampar pada Selasa.
Empat maut selepas kereta dinaiki terbakar akibat merempuh bahagian belakang sebuah lori dekat Kampar pada Selasa.
A
A
A

KAMPAR - [DIKEMAS KINI] Seorang wanita bersama tiga anaknya maut selepas kereta dinaiki terbakar akibat merempuh bahagian belakang sebuah lori berhampiran Kilometer 310.2 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat sini pada Selasa.

Dalam kejadian jam 2.27 pagi itu, Azriyani Abdul Latif, 45, bersama Muhammad Azib Nasaruddin, 23, Siti Nur Aminah Nasaruddin, 8, dan Ahmad Uwais Qorni Nasaruddin, 5, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Kejadian turut mengakibatkan seorang lagi anak mangsa, Muhammad Fawwaz Nasarudin, 7, cedera parah.

Proton Saga itu telah melanggar bahagian belakang lori muatan tanah dan terbakar di bahagian bonet kenderaan.
Proton Saga itu telah melanggar bahagian belakang lori muatan tanah dan terbakar di bahagian bonet kenderaan.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, semasa kejadian kereta jenis Proton Saga dipandu Muhammad Azib dalam perjalanan ke Tapah.

Menurutnya, sampai di lokasi kejadian, dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang lori yang berada di lorong kiri.

"Semua mangsa mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala.

"Empat daripada mereka maut di tempat kejadian manakala seorang berada dalam keadaan kritikal dan telah dikejarkan ke Hospital Tapah untuk rawatan lanjut," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, mangsa maut telah dihantar ke Hospital Kampar untuk proses bedah siasat.

Katanya, pemandu lori berusia 25 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, kebakaran melibatkan 5 peratus di bahagian hadapan kereta.

Menurutnya, kebakaran tersebut bagaimanapun telah dipadamkan orang awam menggunakan alat pemadam api.

"Semasa kejadian terdapat dua mangsa tersepit dan anggota membuat penyelamatan menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa.

"Terdapat mangsa yang maut telah melecur di bahagian anggota badan," katanya