Tiada isu untuk keluar derma darah

Dr Noor Hisham (kiri) bercakap pada sesi sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini.
 -Foto Bernama
Dr Noor Hisham (kiri) bercakap pada sesi sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini.
 -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Orang ramai yang ingin menderma darah kini tidak mempunyai masalah untuk tampil ke mana-mana hospital atau klinik kesihatan untuk tujuan tersebut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiada lagi isu mengenai perkara itu kerana pihaknya sudah mendapat kebenaran daripada kerajaan untuk meluluskan pergerakan keluar penderma darah ke hospital sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Jadi orang ramai tak perlu bimbang lagi sama ada boleh datang ke hospital atau tidak termasuk berkenaan sekatan jalan raya.

"Ia sudah dibincangkan dengan Ketua Polis Negara, jadi kita galakkan sesiapa sahaja untuk datang menderma darah kerana Pusat Darah Negara kini kekurangan 30 peratus bekalan darah pada masa ini," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya hari ini.

Beliau berkata, masalah kekurangan bekalan darah akan bertambah setiap tahun terutamanya ketika Ramadan.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan meluluskan pergerakan penderma darah untuk ke hospital dan klinik kesihatan bagi tujuan menderma darah selepas pihaknya menerima permohonan tersebut dari Pusat Darah Negara.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Noor Hisham memberitahu, pelaksanaan PKP sebenarnya banyak membantu pihaknya mengurangkan kes-kes trauma seperti kemalangan jalan raya dan sebagainya.

"Apabila kes seperti ini kurang, permintaan terhadap bekalan darah juga kurang," katanya.

Artikel Berkaitan: