13 ditahan 'curi-curi potong rambut'

Noorzainy (berdiri dua dari kanan) menyertai serbuan yang dijalankan tadi.
Noorzainy (berdiri dua dari kanan) menyertai serbuan yang dijalankan tadi.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seramai 13 individu termasuk pemilik kedai gunting rambut ditahan selepas didapati berkumpul tanpa alasan yang kukuh di sebuah kedai gunting rambut di Jalan Mengkuang, di sini tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kesemua mereka didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas berada di premis tersebut untuk menggunting rambut.

Menurutnya, polis menerima maklumat orang awam berkenaan premis tersebut yang beroperasi secara sembunyi untuk perkhidmatan menggunting rambut sebelum serbuan dilakukan pada jam 3.30 petang tadi.

"Pemeriksaan ke atas sebuah kedai menggunting rambut mendapati 13 orang berada dalam premis itu. Tiga daripada mereka adalah tukang gunting rambut dan pemilik kedai.

"Kesemua mereka ditahan selepas didapati berkumpul tanpa alasan kukuh.

"Oleh itu, mereka didapati melanggar PKP selain pemilik premis yang membenarkan pelanggan datang untuk menggunting rambut," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan di sini tadi.

Dalam perkembangan sama katanya, seramai 20 orang ditahan hari ini sejak pagi tadi kerana pelbagai kesalahan melanggar PKP.

Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan (11) 1 Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Artikel Berkaitan: