X

Kindly register in order to view this article
!

Macau Scam: RM1.5 juta kerugian di NS dicatat sepanjang PKP

A
A

SEREMBAN - Sebanyak RM1.5 juta nilai kerugian membabitkan 51 kes sindiket Macau Scam direkodkan di Negeri Sembilan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac sehingga 23 April.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani berkata, jumlah itu meningkat berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu RM502,029 dengan 34 kes direkodkan.

“Berlaku peningkatan sebanyak 33 peratus atau 17 kes sepanjang tempoh PKP. Ini menunjukkan sindiket semakin aktif sepanjang tempoh PKP manakala mangsa pula yang ada di rumah ada masa untuk layan panggilan telefon

"Antara kes kerugian paling besar direkodkan dalam tempoh berkenaan ialah melibatkan seorang lelaki berusia 51 tahun dengan nilai kerugian RM490,551,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Aibee Abd Ghani
Aibee Abd Ghani

Menurutnya, mangsa diperdaya melalui panggilan telefon oleh lelaki yang memperkenalkan diri sebagai 'Inspektor Wong' dengan mendakwa namanya disalah guna untuk kes pengubahan wang haram dan penglibatan dadah.

“Mangsa kemudian disambungkan kepada ‘Datuk Kho’ yang memintanya memberitahu nombor kad pengeluaran wang automatik (ATM) berserta jumlah wang dalam akaun itu untuk tujuan semakan.

“Pengadu juga telah memberitahu nombor pengenalan peribadi enam angka (PIN) kad ATM sebelum 'Datuk Kho' meminta mangsa memindahkan wangnya ke dalam akaun bank lain,” katanya.

Katanya, pada 13 April, mangsa telah memindahkan wang sebanyak RM99.537.98 dalam akaun Ambank ke dalam akaun Bank Hong Leong.

Aibee berkata, pada keesokannya, mangsa sekali lagi buat pindahan wang sebanyak RM347.447.38 daripada akaun MBSB miliknya ke akaun Hong Leong.

“Rentetan dari itu, setiap hari mangsa akan menerima panggilan telefon daripada 'Datuk Kho' yang memintanya memberitahu nombor TAC yang diterimanya untuk menyemak wang yang berada dalam akaun miliknya.

“Namun mangsa mula menyedari ditipu apabila tidak lagi menerima panggilan daripada 'Datuk Kho' dan turut gagal menghubunginya,” katanya.

Menurutnya, mangsa telah pergi ke Bank Hong Leong untuk membuat semakan akaun dan dapati wang simpanannya berjumlah RM490,551 telah dikeluarkan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus