Didik pelajar sayangi dan peka alam sekitar

Mahasiswa UiTM Kampus Raub merakamkan gambar bersama pelajar SMK Raub pada program NIOT di sini, semalam.
A
A

KUANTAN - Hendak melentur buluh itu biarlah dari rebungnya. Jika sudah menjadi buluh, sukar pula untuk diubah tabiatnya.

Bukan sekadar peribadi dan tutur kata berhemah, setiap perlakuan yang baik dalam kehidupan harian juga perlu disemai sejak kecil.

Justeru, kepentingan alam sekitar untuk kehidupan yang lebih sihat dan sejahtera antara nilai murni yang perlu disemai sejak kecil meskipun awalnya ia sukar untuk dilakukan.

Atas dasar itu, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Raub menganjurkan program “Nature is Our Treasure” (NIOT) sebagai usaha mendidik generasi muda lebih peka terhadap alam sekitar.

Pengarah program, Farah Hidayah Kamaruddin berkata, tugas pelajar dan murid pada hari ini bukan sahaja terikat mengikuti pembelajaran di sekolah tetapi memikul tanggungjawab lebih besar memastikan kepentingan alam sekitar terpelihara dan memastikannya dapat dinikmati oleh generasi akan datang.

"Mereka inilah yang perlu menjadi penggerak utama dalam menjalankan program pemuliharaan alam sekitar sebelum diperluas kepada komuniti setempat.

"Menjaga kepentingan alam sekitar merupakan tanggungjawab semua pihak dan persepsi masyarakat bahawa peranan itu hanya digalas pihak berkuasa wajar diperbetulkan demi mengelak berlakunya kemusnahan bumi," katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.

Seramai kira-kira 50 mahasiswa dan 30 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mahmud yang turut menyertai pertandingan inovasi menggunakan barang-barang terpakai seperti kertas, kotak, tin dan botol.

Di samping itu, pertandingan fesyen menggunakan barang-barang terpakai yang boleh dikitar semula turut dianjurkan di samping perkongsian ilmu berkaitan dengan penjagaan alam sekitar yang mampan oleh mahasiswa

Farah Hidayah berkata, program ini juga dapat menggalakkan pelajar memelihara alam sekitar melalui cara “reuse, reduce and recycle”.

“Pembabitan kanak-kanak menerusi aktiviti seni seperti ini dengan menggalakkan penggunaan bahan kitar semula dapat membantu mereka menjadi lebih peka pada kepentingan alam sekitar, di samping membantu menyelamatkan bumi.

"Ini juga sebagai inisiatif untuk mendekati dan menyampaikan mesej positif kepada pelajar menerusi kaedah menarik di samping mengalakkan pelajar berfikiran lebih inovatif dan kreatif dalam menghasilkan produk menggunakan barang terpakai.

"Minda anak muda ini juga mudah dibentuk dan aktiviti seni menjadi satu wadah yang boleh digunakan untuk menyampaikan mesej mengenai pentingnya kitar semula dan penjagaan alam sekitar,” katanya.