Orang berbudi, kita berbahasa

A
A
A

Pada 20 April 2020, laporan harian perkembangan pengurusan penyakit Covid-19 di Malaysia membawa sedikit sinaran di ufuk yang gelap. Sudah tiga hari berturut-turut angka jumlah pesakit baharu turun ke dua digit. Sebelum ini sudah banyak hari ia berada di tiga digit.

Pada hari itu juga buat pertama kalinya setelah beberapa minggu, tiada kematian yang dilaporkan. Malaysia juga mencatatkan rekod kadar pemulihan Covid-19 tertinggi di dunia apabila lebih separuh pesakit yang positif berjaya dipulihkan, alhamdulillah.

Namun perjalanan masih jauh. Saya mengingatkan diri saya dan kawan-kawan supaya jangan takabbur dan ujub sewaktu menangani dugaan ALLAH SWT dalam bentuk landaan Covid-19 ini. Di merata tempat dipapar dan dilaungkan slogan “Kita Pasti Menang”. Kita wajib bersikap tawaduk dan insaf. Sekali-kali kita tidak pasti menang tanpa bantuan Tuhan.

Setakat semalam, tapak web Johns Hopkins Coronavirus Resource Center memaparkan maklumat bahawa negara yang teratas sekali dalam senarai 185 negara yang dilanda Covid-19, dari sudut jumlah kumulatif pesakit ialah Amerika Syarikat (AS). Di AS, jumlah kes ialah 939,235 dan jumlah kematian ialah 53,934.

Berikut adalah tempat empat buah negara ASEAN dalam senarai tersebut:

Singapura di tempat 26: Jumlah kes 13,626; jumlah kematian 12

Indonesia di tempat 36: Jumlah kes 8,882; jumlah kematian 743

Filipina di tempat 39: Jumlah kes 7,579; jumlah kematian 501

Artikel Berkaitan:

Malaysia di tempat 45: Jumlah kes 5,742; jumlah kematian 98

Pagi hujung pagi Khamis 16 April 2020, bagi pihak Dewan Bahasa dan Pustaka, saya menerima sekotak besar 1,000 keping penutup muka daripada Kedutaan Besar Republik Rakyat China yang memberi bantuan kepada beberapa institusi dan hospital di Malaysia. Tiada majlis rasmi di dewan berhawa dingin. Hanya di pinggir halaman kedutaan. Ringkas namun bermakna.

Pegawai yang menyampaikan sumbangan itu ialah jurucakap serta ketua media dan bahagian komunikasi umum kedutaan tersebut. Beliau bernama Tang Tang.“My real name and not a nickname,” beliau menjelaskan dalam bahasa Inggeris yang baik bersekali dengan senyuman diplomatiknya. Beliau berkata bahawa pada awal landaan Covid-19, Malaysia (“The previous government...” kata Tang dengan serius) telah membantu dengan sejumlah wang serta hantaran surgical gloves ke negara China. Inilah masanya untuk membalas budi dengan cara Timur, katanya lagi.

Kedutaan Republik Rakyat China juga memberi bantuan penutup muka kepada beberapa buah institusi dan hospital di Malaysia.

Kemanusiaan

Pada jam 11.30 pagi Isnin 20 April 2020, bagi pihak DBP juga saya menerima sebungkus kotak yang mengandungi 1,000 keping penutup muka daripada wakil Persatuan Kebudayaan Han Malaysia (PKHM), Goh Ming Lee. Sesi ringkas di depan rumah Presiden PKHM, Datuk Goh Hin San di Kota Damansara itu telah disaksikan oleh Hin San serta isterinya dan para aktivis PKHM yang telah memberi bantuan ribuan penutup muka kepada beberapa buah persatuan dan institusi pelbagai kaum di Selangor dan Kuala Lumpur.

Hin San telah terlibat dalam usaha perkembangan bahasa Melayu sejak awal dasawarsa 1980-an lagi. Kini beliau ialah ahli Lembaga Pengelola DBP. Kebetulan pula Hin San dan saya adalah anak Johor. Beliau pernah belajar di Sekolah Tinggi Foon Yew yang kampusnya di atas dan lereng bukit Stulang Laut berdepan dengan Selat Tebrau. Kampus itu berbatasan dengan Kampung Stulang Darat, Johor Baharu. Saya lahir di rumah nenda saya di kampung itu.

Pada usia muda, saya telah terlibat sebagai doktor perubatan dan pakar psikiatri dalam misi kemanusiaan dari Malaysia ke enam buah negara yang mengalami malapetaka. Ia termasuk peperangan yang disebabkan oleh manusia serta bencana alam seperti gempa bumi dan tsunami.

Di usia tua ini, pusingan saya pula untuk menerima bantuan bagi pihak institusi yang saya wakili. Demikianlah kitaran hayat. Saya telah menziarahi beberapa buah kedutaan serta suruhanjaya tinggi di Kuala Lumpur dan kedutaan serta suruhanjaya tinggi Malaysia di luar negara. Menziarahi Kedutaan China di Jalan Ampang, Kuala Lumpur adalah satu pengalaman baharu.

Orang berbudi kita berbahasa. Terima kasih.

* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP