Cuba lari lepas langgar lima kenderaan

Salah sebuah kenderaan yang dilanggar suspek yang memandu kereta jenis Hyundai Accent secara berbahaya.
Salah sebuah kenderaan yang dilanggar suspek yang memandu kereta jenis Hyundai Accent secara berbahaya.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan seorang lelaki cuba melarikan diri selepas memandu secara berbahaya hingga merempuh lima kenderaan di Lebuh Raya Baru Pantai (NPE) di sini, semalam, gagal.

Cubaan itu berjaya dipatahkan orang awam yang berada di lokasi kejadian sebelum memaklumkan kepada pihak polis.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Superintendan Sarifudin Mohd Salleh berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari semasa pemandu berusia 30 tahun yang memandu kereta jenis Hyundai Accent itu dalam perjalanan menghala ke Bangsar.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu lelaki berkenaan telah bergesel dengan sebuah kereta jenis Mazda sebelum melanggar bahagian belakang sebuah motosikal jenis Honda Wave.

“Bagaimanapun, pemandu Hyundai itu telah meneruskan pemanduannya sebelum bergesel lagi dengan sebuah teksi dan sebuah Toyota Vios yang berada di lorong kiri.

"Lelaki terbabit bagaimanapun masih tidak berhenti dan meneruskan pemanduan sehingga dia merempuh belakang sebuah motosikal jenis Yamaha 135 LC hingga mengakibatkan penunggangnya tercampak," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Sarifudin berkata, motosikal tersebut telah diseret sejauh kira-kira lima meter sebelum berhenti.

Katanya, lelaki terbabit kemudian keluar dari keretanya dan cuba untuk melarikan diri, namun gagal selepas dicekup orang awam.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis methamphetamine.

“Siasatan masih dijalankan dan suspek kini direman selama dua hari untuk disiasat berhubung kes dadah sementara menanti kertas siasatan berhubung kesalahan trafik dilengkapkan,” katanya.