Pemikiran dinamik hadapi Covid-19

A
A
A

COVID-19 yang diisytiharkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai pandemik pada 11 Mac 2020 menular ke seluruh dunia dalam tempoh yang singkat. Nyatalah, kemajuan teknologi digital yang sering dibanggakan sebagai pencetus inovasi era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) hari ini tidak mampu menghalang gelombang infeksi novel koronavirus-2019 yang datang menerjah.

Wabak ini juga mendedahkan begitu banyak kelemahan dan kekurangan yang terdapat dalam sistem kehidupan hari ini. Manusia yang selama ini angkuh dan bongkak serta menganggap diri mereka hebat dan berkuasa terpaksa akur mengakui keterbatasan daya dan upaya menghadapi pandemik Covid-19. Ternyata, koronavirus ini bertindak sebagai agen pengubah (disruptive agent) yang memaksa manusia keluar dari zon selesa dan mengubah cara berfikir, tingkah laku dan sikap mereka.

Selepas berlalunya pandemik Covid-19, banyak pihak meramalkan kehidupan manusia bakal mengalami pelbagai perubahan yang ketara. Manusia mesti segera beradaptasi dengan banyak kelaziman baharu (new normal) bagi menyambung hayat dan survival mereka.

Kemelesetan ekonomi global akan mempunyai kesan domino yang melata dan mempengaruhi semua aspek termasuk fizikal, psikologi, sosial dan politik merentas sempadan negara. Peralihan antara dunia lama analog kepada era digital dijangka berlaku lebih pantas.

Cara mendidik generasi baharu juga berubah menuju pembelajaran berpaksikan pelajar, memberikan banyak pilihan pedagogi dan membimbing generasi yang bakal mencipta peluang pekerjaan mereka sendiri. Pelbagai keutamaan baharu bakal menuntut manusia mengubah gaya hidup dan tabiat atau amalan lama yang tidak lagi relevan dan produktif.

Tindak balas kepada perubahan ketara yang bakal berlaku ini akan mendedahkan dua kategori utama kelompok manusia. Satu kelompok menganggap perubahan ini sebagai satu bencana, malapetaka, musibah, kemelut dan kecelakaan yang akan menghancurkan kehidupan rutin mereka selama ini.

Berinteraksi

Kelompok yang satu lagi pula melihat perubahan yang bakal mendatang sebagai satu peluang keemasan yang ditunggu-tunggu dan ruang penambahbaikan menuju kehidupan yang lebih baik dan sempurna. Persepsi yang berlawanan ini terhasil daripada kerangka pemikiran yang juga berbeza.

Dalam buku Mindset, Profesor Dr Carol S. Dweck, seorang pakar perunding psikologi daripada Universiti Stanford, Amerika Syarikat berkata, terdapat dua kerangka pemikiran yang menentukan pola dan corak persepsi manusia semasa berinteraksi dengan persekitarannya.

Artikel Berkaitan:

Kerangka pemikiran yang pertama adalah yang dinamakan kerangka pemikiran jumud, terkunci, tertutup dan terbelenggu (fixed mindset) manakala yang kedua adalah kerangka pemikiran dinamik, bercambah dan berkembang (growth mindset).

Kerangka pemikiran jumud dan terkunci mempunyai keyakinan bahawa kepintaran, bakat, potensi dan keupayaan seseorang adalah sesuatu yang sudah ditentukan oleh baka genetik (DNA) semula jadi yang diwarisi atau takdir yang ditetapkan Tuhan. Seseorang dengan pemikiran terbelenggu mempercayai semuanya tidak dapat diubah lagi, sama ada dia berbakat, pintar dan cerdas secara semula jadi ataupun sememangnya telah ditakdirkan menjadi seorang yang bodoh, kurang berbakat dan tidak bernasib baik.

Kelompok ini menganggap usaha dan ikhtiar tidak banyak membantu meningkatkan keupayaan seseorang. Mereka tidak suka kepada perubahan dan cabaran, tidak mahu mengambil risiko kerana takut gagal dan kecewa. Jika dikaitkan dengan pandemik Covid-19 yang memaksa berlakunya perubahan drastik dan mendadak dalam kehidupan individu dan masyarakat sekarang, kelompok dengan kerangka pemikiran jumud paling terkesan dan tertekan.

Mereka berasa cemas dan panik kerana kehilangan suasana rutin yang boleh dikawal. Kebimbangan dan keresahan juga meningkat kerana tidak dapat menduga apa yang akan berlaku selepas ini. Mereka tidak dapat berhadapan dengan cabaran dan risiko, lantas kerap melarikan diri daripada masalah. Dibimbangi persepsi negatif akan mendedahkan kelompok ini kepada kekecewaan dan putus asa, menyebabkan mereka terdorong kepada penagihan dadah dan alkohol sebagai jalan pintas atau eskapisme.

Mereka yang berpemikiran tertutup ini tidak suka ditegur dan dinasihati, malahan memusuhi orang lain yang dianggap jauh lebih baik daripada mereka. Keresahan dan kebimbangan yang melampau akan mengakibatkan kesan buruk kepada kesihatan mental dan mempengaruhi kualiti hubungan interpersonal. Masalah sosial seperti jenayah rompak, ragut, peras ugut, pelacuran, rogol, cabul dan keganasan akan lazimnya meningkat dalam suasana kemelesetan ekonomi, pengangguran dan kekurangan sumber kehidupan.

Cemas

Sebaliknya, individu yang mempunyai kerangka pemikiran dinamik meyakini bahawa usaha dan kesungguhan akan menemui jalan keluar kepada setiap permasalahan yang dihadapi.

Dalam suasana pandemik Covid-19 ini, kebimbangan dan keresahan ditangani dengan usaha menambahkan ilmu pengetahuan berkaitan koronavirus dan penularannya.

Kelompok dengan kerangka pemikiran ini dapat menerima kehadiran wabak ini sebagai cabaran baharu yang mesti segera ditangani secara bijaksana. Mereka mempunyai keyakinan diri yang tinggi dan kemahiran bekerja dalam satu pasukan. Kelompok ini tidak segan bertanya dan belajar daripada orang lain yang dianggap lebih berjaya dan terkehadapan.

Untuk mendepani cabaran getir yang perlu kita lalui selepas berakhirnya pandemik Covid-19 ini, kita mestilah melatih diri untuk menguasai kerangka pemikiran yang dinamik.

Terdapat banyak peribahasa Melayu yang diasaskan kepada corak kerangka pemikiran yang berkembang dan bercambah seperti: di mana ada kemahuan, di situ ada jalan; usaha tangga kejayaan; kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya; sehari selembar benang, akhirnya menjadi kain; berakit ke hulu berenang ke tepian, bersakit dahulu bersenang kemudian; dan sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit.

Semoga kita mampu membina kerangka pemikiran dinamik dan terus memperbaiki kehidupan selepas berlalunya pandemik Covid-19.

* Profesor Datuk Dr Harlina Halizah Siraj ialah Pengarah Pusat Citra Universiti, Universiti Kebangsaan Malaysia