Belanjawan Perlis 2027 RM362.62 juta, defisit RM33.59 juta

Abu Bakar membentangkan Belanjawan Negeri Perlis 2027 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis pada Jumaat.
Abu Bakar membentangkan Belanjawan Negeri Perlis 2027 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis pada Jumaat.
A
A
A

KANGAR - Kerajaan Negeri Perlis membentangkan Belanjawan 2027 berjumlah RM362.62 juta dengan unjuran defisit sebanyak RM33.59 juta bagi tahun hadapan.

Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata, daripada jumlah keseluruhan peruntukan itu, sebanyak RM257.13 juta atau 71 peratus disediakan bagi perbelanjaan mengurus, manakala RM105.49 juta atau 29 peratus diperuntukkan untuk pembangunan.

Beliau berkata, kerajaan negeri menganggarkan kutipan hasil sebanyak RM223.54 juta pada 2027, meningkat RM5.96 juta atau 2.74 peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Anggaran hasil itu merangkumi hasil cukai sebanyak RM39.65 juta, hasil bukan cukai RM37.13 juta dan terimaan bukan hasil RM146.76 juta.

"Dengan ini, Kerajaan Negeri diunjurkan mengalami defisit sebanyak RM33.59 juta pada tahun 2027," katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri Perlis 2027 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini pada Jumaat.

Belanjawan bertemakan 'Perlis Progresif: Memacu Pertumbuhan, Menjana Kemakmuran' itu memberi penekanan kepada sembilan teras strategik menerusi Pelan Pembangunan PENERAJU Perlis Progresif 2030.

Abu Bakar berkata, daripada keseluruhan peruntukan pembangunan sebanyak RM105.49 juta, sejumlah RM16.86 juta atau 16 peratus dibiayai melalui pinjaman Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan projek peningkatan prasarana untuk kemudahan rakyat.

Menurutnya, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri menerima peruntukan pembangunan tertinggi sebanyak RM48.55 juta, diikuti Jabatan Kerja Raya (RM21.15 juta), Jabatan Pengairan dan Saliran (RM13.97 juta) serta Jabatan Perhutanan (RM13.35 juta).

Turut menerima peruntukan ialah Jabatan Pertanian sebanyak RM5.93 juta dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (RM2.54 juta).

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, kedudukan kewangan negeri menunjukkan perkembangan positif apabila hasil kerajaan negeri pada 2025 mencecah RM197.77 juta, iaitu kutipan tertinggi pernah direkodkan dengan defisit hanya RM3.28 juta.

Katanya, baki pinjaman Kerajaan Negeri daripada Kementerian Kewangan turut menunjukkan penurunan daripada RM254.70 juta pada 2025 kepada RM225.94 juta setakat 19 November 2026.

"Selain itu, Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Perlis bagi tahun berakhir 31 Disember 2025 turut dianugerahkan Sijil Bersih tanpa teguran oleh Ketua Audit Negara.

"Pencapaian ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan tadbir urus kewangan yang telus serta pengurusan fiskal berhemah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!