Lebar sayap di Sarawak, IKEA ambil lebih 90 peratus pekerja tempatan

Dari kiri: Pengurus IKEA Kuching, Pathmalingam Arumugam; Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dan Pengarah Runcit Negara IKEA Malaysia, Takeshi Murai dan secara rasmi melancarkan gedung IKEA pertama berformat kecil yang terletak di Batu Kawa, Kuching.
Dari kiri: Pengurus IKEA Kuching, Pathmalingam Arumugam; Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dan Pengarah Runcit Negara IKEA Malaysia, Takeshi Murai dan secara rasmi melancarkan gedung IKEA pertama berformat kecil yang terletak di Batu Kawa, Kuching.
A
A
A

KEUTAMAAN terhadap tenaga kerja tempatan menjadi antara pendekatan IKEA dalam membina operasi perniagaannya di Sarawak apabila lebih 90 peratus daripada pengambilan pekerja bagi gedung IKEA Kuching terdiri daripada penduduk tempatan.

Pengarah Runcit Negara IKEA Malaysia, Takeshi Murai berkata, pihaknya memilih untuk memberi peluang kepada masyarakat Kuching menjadi sebahagian daripada operasi syarikat berkenaan, selain membawa pekerja berpengalaman dari Semenanjung Malaysia bagi membantu proses latihan dan pembangunan kemahiran.

Menurutnya, kurang daripada 10 peratus tenaga kerja gedung itu datang dari Semenanjung Malaysia, terdiri daripada pekerja yang mempunyai pengalaman antara 10 hingga 20 tahun bersama IKEA.

"Pengambilan lebih 90 peratus pekerja tempatan merupakan sesuatu yang agak luar biasa berbanding strategi pengambilan pekerja IKEA secara biasa.

"Namun, kami benar-benar mahu memberi peluang kepada masyarakat Kuching,” katanya ketika ditemui sempena Majlis Perasmian IKEA Kuching, pada Jumaat.

Majlis tersebut dirasmikan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

IKEA Kuching yang terletak di Pines Mall, Batu Kawa, merupakan gedung fizikal pertama IKEA di Malaysia Timur.

Sempena pembukaannya, IKEA Kuching menyambut kehadiran lebih daripada 6,000 pengunjung.

Gedung ini memberi pelanggan akses kepada sekitar 5,000 barangan kelengkapan rumah pada harga IKEA yang sama seperti di Semenanjung Malaysia, sekali gus menawarkan lebih banyak pilihan merentasi pelbagai gaya, keperluan dan bajet.

Artikel Berkaitan:

Takeshi Murai
Takeshi Murai

Takeshi berkata, pendekatan membuka peluang kepada pekerja tempatan mencerminkan komitmen IKEA untuk membangunkan operasi bersama komuniti setempat, berbanding bergantung kepada tenaga kerja dari luar kawasan bagi mengisi sebahagian besar jawatan di gedung berkenaan.

Dalam masa sama, Takeshi berkata, pengurusan logistik turut menjadi antara cabaran utama IKEA dalam memastikan operasinya di Sarawak berjalan cekap, khususnya bagi membolehkan syarikat mengekalkan harga produk, perkhidmatan dan makanan sama seperti di Semenanjung Malaysia.

Menurutnya, faktor logistik menjadi antara pertimbangan dalam pemilihan Kuching sebagai lokasi gedung pertama IKEA di Malaysia Timur, selain potensi pasaran bandar berkenaan.

“Banyak jenama lain mungkin menambah kos tertentu pada produk mereka apabila beroperasi di Malaysia Timur, tetapi kami tidak berbuat demikian. Kami mengekalkan harga yang sama.

“Oleh itu, perkara tersebut memerlukan aliran logistik yang sangat cekap. Kami tidak dapat melakukannya sekiranya kos logistik terlalu tinggi,” katanya.

Warga Kuching mengunjungi gedung IKEA Kuching sempena pembukaan rasmi pada Jumaat.
Warga Kuching mengunjungi gedung IKEA Kuching sempena pembukaan rasmi pada Jumaat.

Beliau berkata, pihaknya menjalankan kajian bagi mengenal pasti kaedah operasi dan penyelesaian logistik yang sesuai sebelum memutuskan untuk membuka gedung di Kuching.

Murai berkata, IKEA mahu membina perniagaan secara jangka panjang di Sarawak, dengan kepuasan pelanggan dan hubungan bersama komuniti menjadi antara asas kepada pertumbuhan syarikat di pasaran berkenaan.

“Kami mahu berkembang bersama masyarakat di Kuching dan Sarawak. Kami berharap dapat berada di Kuching untuk bertahun-tahun akan datang, bukan sekadar datang selama dua tahun, mengaut keuntungan dan kemudian meninggalkan tempat ini.

“Itu bukan apa yang kami mahu lakukan. Kami mahu berkembang bersama masyarakat di Kuching dan Sarawak,” katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!