Lebih 70 peratus pengguna anggap servis BNPL satu-satunya pilihan kredit

LEBIH 70 peratus pengguna perkhidmatan beli sekarang, bayar kemudian (BNPL) menganggap kemudahan itu sebagai satu-satunya pilihan kredit yang tersedia kepada mereka meningkat 15 mata peratusan berbanding 2025.
Dapatan tinjauan tahunan kedua Fikir Sekarang, Bayar Kemudian oleh SPayLater dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) itu menunjukkan peranan BNPL semakin berkembang dalam menyediakan akses kepada kredit, khususnya bagi pengguna yang mempunyai akses terhad kepada kemudahan kredit tradisional.
Tinjauan sama turut mendapati 74 peratus pengguna BNPL menganggap kredit sebagai keperluan harian, manakala 94 peratus berasa lega kerana mempunyai kemudahan kredit fleksibel itu bagi membantu mengawal perbelanjaan.
Untuk rekod, tinjauan dijalankan antara Jun hingga Julai 2026 melibatkan 18,100 pengguna SPayLater dari kesemua 14 negeri seluruh negara.
Responden terdiri daripada tiga kumpulan umur utama iaitu 18 hingga 30 tahun (20.2 peratus), 31 hingga 40 tahun (43.7 peratus) dan 41 tahun ke atas (36 peratus).
Dari segi pendapatan, sebanyak 18 peratus responden memperoleh RM2,000 dan ke bawah manakala 79.3 peratus berpendapatan RM5,000 dan ke bawah serta 12.7 peratus memperoleh lebih RM6,000.
Ketua Pendidikan Kewangan Isi Rumah AKPK, Nirmala M Supramaniam berkata, perkembangan itu mencerminkan perubahan lebih meluas dalam cara rakyat Malaysia menggunakan kemudahan kredit dengan BNPL semakin mengisi jurang yang belum dapat dicapai oleh kredit tradisional.
"Seiring peningkatan penggunaannya, tumpuan kami adalah memastikan pertumbuhan ini disertai dengan literasi kewangan supaya akses kepada kredit terus seiring dengan pemahaman untuk menggunakannya secara berhemah.
“Sebagai perkembangan yang menggalakkan, kami tidak menemui sebarang kes kebankrapan yang menyatakan BNPL sebagai punca utama.
"Namun, kami percaya akses kepada kredit perlu diperkukuh dengan membina amalan kewangan asas dan landskap kredit yang berdaya tahan untuk rakyat Malaysia,” katanya.
Lebih 40 peratus responden menggunakan kemudahan ansuran SPayLater untuk tujuan pengurusan bajet, khususnya bagi mengatur aliran tunai ketika membuat pembelian bernilai tinggi.
Sebahagian pengguna lain turut memanfaatkan kemudahan itu untuk menampung kos keperluan mendesak seperti pembaikan kenderaan dan penggantian peralatan elektrik rumah.
Bagi kebanyakan pengguna, pelan pembayaran balik BNPL yang berstruktur memberikan jangkaan lebih jelas terhadap perbelanjaan yang sebelum ini sukar diramal.
Menurut Suruhanjaya Kredit Pengguna, kadar tunggakan BNPL di Malaysia ialah 3.3 peratus pada separuh pertama 2026, berbanding kadar tunggakan keseluruhan kad kredit sebanyak 3.9 peratus setakat Jun 2026, berdasarkan Sorotan dan Statistik Bulanan Bank Negara Malaysia (Jadual 1.30).
Ketua ShopeePay Malaysia, Alain Yee pula berkata, SPayLater sering menjadi pendedahan pertama kepada kemudahan kredit bagi kebanyakan penggunanya.
“Kami percaya kepentingan kejelasan dan struktur perlu ditekankan dengan mengutamakan terma pembayaran balik yang dipaparkan lebih awal serta pecahan bayaran bulanan.
“Dengan menyediakan terma pembayaran yang telus, instrumen kewangan boleh memainkan dua peranan, iaitu membantu pengguna memahami bagaimana pengurusan bajet dan konsep kewangan lain berfungsi dalam kehidupan sebenar, selain menjadi batu loncatan ke arah pengurusan produk kredit yang lebih kompleks pada peringkat seterusnya dalam perjalanan kewangan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, tujuh daripada 10 pengguna berkata, mereka memahami konsep pemarkahan kredit serta kesannya manakala 98 peratus responden menyatakan mereka menggunakan BNPL secara bertanggungjawab.
Sebanyak 70 peratus responden pula percaya, penggunaan BNPL akan memberikan kesan positif terhadap penilaian kredit mereka sekiranya pembayaran balik kemudahan itu direkodkan dalam sejarah kredit.
Bagi pengguna yang mempunyai akses terhad kepada kemudahan kredit tradisional, rekod pembayaran berkenaan berpotensi membuka peluang untuk membina sejarah kewangan.
Dari aspek keselamatan digital, 88 peratus responden menyatakan mereka berasa selamat menggunakan SPayLater, yang dikaitkan dengan penekanan platform itu terhadap perlindungan pengguna dan langkah mengurangkan penipuan.
Setakat tahun ini, lebih 3,300 pengguna SPayLater telah menerima bantuan kewangan dan kemudahan pembayaran balik ketika berdepan kesukaran hidup yang tidak dijangka.
Langkah bantuan itu turut merangkumi pengecualian baki tertunggak pengguna yang meninggal dunia bagi memastikan waris mereka tidak terbeban dengan sebarang tanggungan kewangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
