Peniaga Gen Z lebih layan 'live' daripada pelanggan depan mata

SITUASI perniagaan di negara kita melalui transformasi yang boleh dikatakan mendadak selari dengan perkembangan media sosial dan digital.
Ramai peniaga mempromosi perniagaan dan menarik pelanggan menerusi penstriman langsung di media sosial sehingga mengumpul ratusan ribu pengikut walaupun hanya membuka khemah jualan di tepi jalan.
Merak Jalanan tiada masalah dengan kaedah jualan itu, cuma pengalaman ingin merasai satu menu viral jualan peniaga muda atau Gen Z baru-baru ini sangat mengecewakan.
Kerana ingin mencuba, Merak Jalanan sanggup beratur, cuma sedikit janggal apabila peniaga, seorang gadis muda terlalu sibuk melayan live di media sosial, tak tegur pun pelanggan yang menunggu di depan mata untuk disapa. Agak lama juga menunggu, baru keluar suara, 'ya, nak apa?' sambal mata menjeling telefon bimbit yang terpacak di sebelah.
Sebagai pembeli, Merak Jalanan tak begitu gembira dengan cara meniaga sebegitu kerana ia membabitkan masalah layanan. Siapa yang lebih penting, pelanggan yang sudah ada di depan mata atau bakal pembeli dalam talian yang belum tentu datang membeli di gerai.
Mungkin dia tengah seronok melayan ribuan yang sedang menonton dia meniaga atau mendapat pulangan hasil live itu melebihi daripada pelanggan yang tengah beratur.
Tetapi dalam berniaga, sepatutnya perlu lebih peka melihat keutamaan. Selesaikan urusan pembeli di depan mata dahulu, kemudian nak bersiaran berjam-jam pun terpulanglah.
Mengenai menu viral itu, apa yang boleh Merak Jalanan kata, hanya indah khabar daripada live. Mungkin boleh diperbaiki jika ada sapaan yang lebih santun dengan pelanggan yang bersemuka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
