Untung PETRONAS Dagangan naik 6 peratus

PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) mencatat keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM913.5 juta bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2026, meningkat enam peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Prestasi itu didorong oleh pertumbuhan jualan runcit serta perkembangan berterusan segmen perniagaan bukan bahan api.
Dalam tempoh tersebut, pendapatan syarikat meningkat 54 peratus kepada RM42.8 bilion berikutan kenaikan harga jualan purata sebanyak 52 peratus dan pertambahan jumlah jualan keseluruhan.
Menurut kenyataan PDB, jumlah jualan runcit turut meningkat enam peratus, disumbang oleh kenaikan jualan petrol dan diesel serta pertumbuhan perniagaan bukan bahan api menerusi.
Bagi suku ketiga, PAT menurun 21 peratus kepada RM228.1 juta walaupun pendapatan meningkat 63 peratus kepada RM15.5 bilion.
Penurunan keuntungan itu berpunca daripada kos bekalan yang lebih tinggi semasa kerja penyelenggaraan berkala utama di Kilang Penapisan Melaka serta kenaikan mendadak harga bahan api jet dan diesel yang menjejaskan margin segmen komersial.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Azrul Osman Rani berkata, syarikat berjaya memastikan bekalan kepada pelanggan runcit dan komersial tidak terganggu sepanjang tempoh penyelenggaraan kilang penapisan tersebut.
Menurutnya, pertumbuhan segmen perniagaan kemudahan dan peningkatan jumlah jualan runcit membantu mengurangkan kesan tekanan terhadap keuntungan syarikat.
Beliau berkata, perbelanjaan pengguna, aktiviti komersial dan sektor pelancongan dijangka terus menyokong permintaan domestik walaupun harga bahan api global dan kos perolehan kekal tidak menentu akibat perkembangan geopolitik semasa.
PDB turut mengumumkan dividen interim sebanyak 25 sen sesaham bagi suku berakhir 30 September 2026.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
