KK Mart sasar raih RM462 juta menerusi IPO

KK Mart Retail Bhd menyasarkan kutipan RM462 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) menjelang penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia.
KK Mart Retail Bhd menyasarkan kutipan RM462 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) menjelang penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia.
A
A
A

KK Mart Retail Bhd menyasarkan kutipan RM462 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) menjelang penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 15 Disember 2026.

Berdasarkan modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 3.5 bilion saham dan harga maksimum IPO sebanyak 55 sen sesaham, KK Mart dijangka mempunyai permodalan pasaran kira-kira RM1.9 bilion selepas penyenaraian.

IPO itu melibatkan tawaran sehingga 840 juta saham biasa yang terdiri daripada terbitan awam sebanyak 210 juta saham baharu dan tawaran untuk jualan sebanyak 630 juta saham sedia ada, masing-masing mewakili 6.0 peratus dan 18.0 peratus daripada modal saham biasa terbitan yang diperbesarkan.

Berdasarkan harga maksimum IPO, bahagian terbitan awam itu dijangka menjana hasil kasar kira-kira RM115.5 juta bagi menyokong fasa pertumbuhan seterusnya kumpulan.

Kumpulan itu memperuntukkan 21.7 peratus daripada hasil tersebut untuk pembukaan cawangan baharu di Malaysia dan 41.9 peratus bagi pelan pengembangan pusat pengedaran.

Selain itu, 24.2 peratus lagi untuk pelaburan dalam inisiatif digital dan perkakasan serta perisian teknologi maklumat (IT), manakala bakinya akan digunakan bagi menampung perbelanjaan penyenaraian.

KK Mart turut menetapkan dasar dividen dengan sasaran pembayaran kira-kira 40 hingga 60 peratus daripada keuntungan selepas cukai.

Pengarah Eksekutif Bukan Bebas merangkap Pengarah Urusan Kumpulan KK Mart, Datuk Seri Chai Kee Kan berkata, IPO itu merupakan pencapaian penting dalam perjalanan syarikat yang bermula lebih dua dekad lalu dengan matlamat mudah untuk menjadikan urusan membeli-belah harian lebih mudah dan boleh diakses rakyat Malaysia.

Menurutnya, kelebihan KK Mart terletak pada kehadirannya yang kukuh dalam sektor peruncitan tengah malam apabila kira-kira 49.1 peratus daripada jumlah jualan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 direkodkan pada waktu berkenaan.

"Keadaan ini mencerminkan peranan penting syarikat dalam memenuhi keperluan rakyat Malaysia di luar waktu operasi peruncitan konvensional.

“Sama ada barangan keperluan pada lewat malam atau keperluan harian, kami berusaha untuk menjadi destinasi yang boleh dipercayai dan mudah diakses pelanggan pada bila-bila masa mereka memerlukan kami,” katanya.

Beliau berkata, hasil IPO itu akan menyokong fasa pertumbuhan seterusnya dengan membolehkan syarikat memperluaskan rangkaian cawangan dan pusat pengedaran, memperkukuh keupayaan digital serta infrastruktur IT, selain meningkatkan kecekapan operasi seiring perkembangan perniagaan.

Katanya, ketika memperluaskan jangkauan ke lebih banyak kawasan kejiranan di seluruh negara, KK Mart kekal memberi tumpuan kepada pembinaan rangkaian peruncitan yang lebih kukuh dan berdaya tahan bagi menawarkan kemudahan, aksesibiliti serta nilai lebih baik kepada komuniti yang disediakan perkhidmatan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Global Kumpulan Maybank, Datuk John Chong berkata, pihaknya mengucapkan tahniah kepada KK Mart atas pelancaran prospektus IPO berkenaan.

Menurutnya, KK Mart merupakan kisah kejayaan syarikat tempatan yang berkembang menjadi antara rangkaian pasar mini serbaneka terkemuka negara menerusi model perniagaan beroperasi 24 jam, rangkaian cawangan yang luas serta pemahaman mendalam terhadap keperluan pengguna tempatan.

"IPO ini merupakan pencapaian penting bagi KK Mart dalam usaha mengembangkan perniagaan dan mengukuhkan kedudukan kepimpinannya dalam pasaran.

“Maybank berbangga menjadi sebahagian daripada perjalanan ini dan kekal komited untuk menyokong perniagaan tempatan dalam fasa pertumbuhan seterusnya,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, KK Mart turut mengumumkan keputusan kewangan tidak diaudit bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027.

Bagi suku berkenaan, kumpulan merekodkan hasil sebanyak RM458 juta, meningkat 7.1 peratus berbanding RM427.4 juta dalam tempoh sama tahun kewangan sebelumnya, terutamanya disokong peluasan berterusan rangkaian peruncitannya.

Pendapatan tambahan menerusi program insentif pembekal turut meningkat kepada RM29 juta berbanding RM22.5 juta dalam suku pertama tahun kewangan sebelumnya.

Pendapatan tambahan itu tidak melibatkan kos berkaitan dan menyumbang secara langsung kepada keuntungan.

Keuntungan kasar kumpulan meningkat 9.8 peratus kepada RM133.1 juta, manakala keuntungan sebelum cukai dan keuntungan selepas cukai masing-masing meningkat kira-kira 3.4 peratus dan 5.8 peratus kepada RM32.7 juta serta RM24.5 juta.

Tempoh permohonan IPO syarikat dibuka pada 26 November dan akan ditutup pada 2 Disember 2026, jam 5 petang, manakala penyenaraian dijadualkan pada 15 Disember ini.

Maybank Investment Bank Berhad bertindak sebagai Penasihat Utama, Pengurus Buku Tunggal, Penaja Jamin Tunggal dan Ejen Penempatan Tunggal bagi IPO berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!