Eloklah hantar PATI Myanmar pulang

MELIHAT beberapa keping foto yang menunjukkan pendatang asing tanpa izin (PATI) Myanmar melambai-lambai tangan ketika operasi penghantaran pulang di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut sudah cukup melegakan.
Ini kerana, sejak sekian lama, beberapa siri kritikan dan kecaman mengenai pelbagai isu melibatkan PATI seolah-olah hanya sekadar melepaskan batok di tangga.
Justeru apabila kapal Tentera Laut Myanmar tiba di perairan negara awal pagi Selasa lalu bagi fasa pertama penghantaran pulang membabitkan 1,473 warga Myanmar yang ditahan di Malaysia, ia memberikan harapan isu-isu berkaitan PATI masih boleh diselesaikan.
Namun, isu besar dan berakar masih lagi tidak bernoktah iaitu etnik Rohingya. Bermula dengan rumah flat di Hulu Langat hinggalah siri pengusiran etnik berkenaan di perkampungan di utara tanah hair, belum nampak sinar yang mereka akan mengikut jejak PATI Myanmar.
Proses penghantaran mereka juga nampaknya sukar berlaku kerana tiada pihak berwajib yang akan mengakui kewarganegaraan mereka, bermakna tiadalah nota diplomatik yang akan dirujuk kepada Malaysia.
Jadinya, bila isu Rohingya ini akan selesai, sesuatu yang dinantikan sekian lama rakyat Malaysia, sama halnya dengan lambakan PATI dari negara lain yang mungkin sudah beranak pinak di negara kita.
Berbalik kepada penghantaran PATI dari Myanmar, suasana yang kita lihat di Pangkalan TLDM Lumut itu adalah hasil persetujuan dicapai dengan kerajaan Myanmar untuk menghantar pulang 5,000 warganya yang berada di Malaysia seperti diumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Julai lalu.
Perdana Menteri berkata, ia satu langkah awal dalam menangani isu berkenaan bagi memastikan isu ketenteraman awam di Malaysia terus dapat dipelihara.
Besarlah harapan kita agar ia akan meliputi etnik Rohingya juga, paling tidak mengurangkan jumlah mereka yang sudah terlalu ramai di sini, membawa terlalu banyak masalah yang tidak terbendung.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
