Covid-19: Rawatan pesakit kronik di hospital kerajaan masih berterusan

Dr Noor Hisham ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. -Foto Bernama
Dr Noor Hisham ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Khidmat rawatan pesakit-pesakit kronik di semua hospital bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih berterusan meskipun dalam keadaan krisis wabak koronavirus (Covid-19).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sekiranya terdapat penangguhan rawatan, ia adalah atas faktor-faktor lain bukannya disebabkan isu jangkitan Covid-19.

"Perkhidmatan rawatan pesakit adalah berterusan di hospital-hospital kementerian kesihatan. Jadi mungkin pertangguhan bukan sebab Covid-19 tapi mungkin ada sebab-sebab yang lain.

"Perkhidmatan kita pada rakyat masih berterusan iaitu mereka yang menerima rawatan kemoterapi dan sebagainya masih berterusan," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan mengenai laporan media asing bahawa terdapat pesakit kronik di Malaysia terpaksa menangguhkan rawatan penyakit kanser untuk 15 hari didakwa kerana hospital perlu merawat pesakit Covid-19.

Dr Noor Hisham berkata, penangguhan rawatan pesakit kanser boleh berlaku sekiranya terdapat masalah pada darah.

"Untuk pesakit kanser, biasanya kalau kita ambil darah, kalau darah memang menunjukkan tak sesuai untuk kita beri kemoterapi tersebut, kita tangguhkan.

"Jadi kemoterapi atau rawatan ditangguhkan mungkin sebab lain bukan sebab hospital tutup atau jangkitan Covid-19," katanya.

Artikel Berkaitan: